Malaysia bolot enam anugerah, Grabber juara ASEAN GeoAI Fusion 2026
KUALA LUMPUR – Idea menggunakan pemodelan 3D, data geospatial dan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu perancangan rangkaian 5G membawa tuah kepada pasukan Grabber apabila dinobatkan juara keseluruhan ASEAN GeoAI Fusion 2026.
Kejayaan itu turut menyumbang kepada pencapaian Malaysia yang meraih enam anugerah pada program berkenaan, sekali gus membuktikan keupayaan bakat tempatan dalam menghasilkan penyelesaian berasaskan AI dan teknologi geospatial.
Grabber dianggotai Chin Jun Quan, 22, pelajar Sains Komputer di Universiti Malaya (UM) dan Wong Yong Xi, 23, dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Chin berkata, projek berkenaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesalinghubungan di kawasan luar bandar di seluruh ASEAN yang masih berdepan cabaran akibat jurang liputan telekomunikasi.
“Sebagai contoh, di Indonesia, masih terdapat kira-kira 2,500 kampung yang langsung tidak mempunyai kesalinghubungan jadi, kami berhasrat menggunakan Al yang digabungkan dengan data pemodelan 3D untuk membantu menyelesaikan masalah ini, seperti mengenal pasti lokasi terbaik bagi menempatkan tapak sel, tiang pintar dan infrastruktur rangkaian lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penutupan program itu yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di ibu negara, hari ini.
Pasukan itu membawa pulang dua trofi dan wang tunai termasuk hadiah utama bernilai USD5,000 dan hadiah wang tunai sebanyak USD500.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, ASEAN GeoAI Fusion 2026 menjadi platform yang menghimpunkan bakat muda dari rantau ASEAN untuk membangunkan idea serta penyelesaian berasaskan teknologi AI Geospatial (GeoAI).
“Kita nak kumpulkan bakat di rantau ASEAN dan beri mereka ruang untuk membangunkan idea serta projek masing-masing, dengan harapan penyelesaian yang dicadangkan dapat memberi impak yang lebih berkekalan kepada industri,” katanya selepas merasmikan penutupan program berkenaan di sini.
Beliau berkata, program sulung anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu berjaya menarik seramai 1,112 peserta dari 11 negara anggota ASEAN, dengan 72 peratus terdiri daripada golongan mahasiswa.
Pada majlis sama, Starlink dan Snack Overflow masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga, manakala Geovisionaries dari Myanmar serta Kandila dari Brunei melengkapkan lima kedudukan teratas.
Selain itu, AI Slop Final Boss memenangi ASEAN Best Sustainable Development Impact, manakala Starlink meraih ASEAN Best Spatial Intelligence.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














