BERITA SEMASA

Zambry ziarah pelajar IPT terjejas kebakaran Kampung Numbak

KOTA KINABALU – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menziarahi keluarga pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terjejas dalam tragedi kebakaran di Kampung Numbak, Kota Kinabalu pada 30 Ogos lalu.

Dalam kunjungan itu, beliau menyantuni pelajar dan keluarga mereka selain meninjau keadaan serta keperluan semasa mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda akibat kebakaran berkenaan.

Seramai sembilan pelajar daripada enam IPT terjejas dalam kejadian itu, membabitkan Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), North Borneo University College (NBUC), UNITAR Kota Kinabalu dan Goon International University College (GIUC).

Menurut Zambry, sebagai bantuan awal, setiap pelajar menerima sumbangan RM3,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS), manakala IPT masing-masing turut menyalurkan bantuan tambahan berdasarkan keperluan pelajar.

“Musibah ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan harta benda, malah memberikan kesan emosi kepada pelajar dan keluarga.

“Kehadiran kami adalah untuk memastikan mereka tidak berasa bersendirian ketika melalui saat yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata, keutamaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah memastikan kebajikan serta pengajian pelajar terbabit terus terpelihara.

Beliau turut meminta IPT yang terlibat memantau keadaan setiap pelajar dan menyediakan bantuan susulan, termasuk kemudahan penginapan, keperluan pembelajaran, sokongan kewangan serta khidmat psikososial sekiranya diperlukan.

Dalam lawatan sama, Zambry turut menziarahi dua pelajar baharu iaitu Nur Kyra Alya Mohamad Mekah yang bakal melanjutkan pengajian di UMS dan Norsarina Abdullah, bakal mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kedua-dua pelajar berkenaan datang daripada keluarga yang berdepan kesukaran kewangan serta kekangan untuk membuat persediaan dan mendaftar masuk ke universiti.

KPT bersama YPS kemudian menghulurkan bantuan kewangan kepada kedua-dua pelajar berkenaan, manakala UMS dan UPM membantu dari segi persediaan serta keperluan pendaftaran bagi memastikan mereka dapat memulakan pengajian dengan lancar.

“Anak-anak ini telah memperoleh peluang untuk melanjutkan pengajian. Jangan biarkan masalah kewangan, kos perjalanan atau kekurangan persediaan menyebabkan mereka terpaksa melepaskan peluang tersebut.

“Jika ada kekangan, maklumkan segera kepada universiti atau Kementerian. Kita akan berusaha mencari jalan supaya mereka dapat masuk ke universiti dan meneruskan pengajian,” katanya.

Menurut Zambry, inisiatif itu selaras dengan pendekatan KPT untuk memastikan kementerian, universiti dan seluruh ekosistem pendidikan tinggi lebih tangkas mengenal pasti serta membantu pelajar yang berdepan kesulitan.

Katanya, setiap pelajar yang layak melanjutkan pengajian perlu diberikan bantuan segera dan bersesuaian supaya faktor kemiskinan, musibah keluarga atau kekangan logistik tidak menjadi penghalang kepada pendidikan tinggi.

“Keluarga besar pendidikan tinggi mesti hadir ketika mahasiswa memerlukan. Kita bukan sekadar membuka pintu universiti, tetapi perlu membantu mereka melangkah masuk dan memastikan mereka mampu meneruskan pengajian dengan baik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button