BERITA SEMASA

Duncan Sikodol dilantik anggotai LPPR

PUTRAJAYA – Datuk Duncan Sikodol hari ini dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dalam satu majlis penyerahan Surat Cara Pelantikan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Pejabat Perdana Menteri, di sini.

Pelantikan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh institusi integriti negara dan amalan tadbir urus yang baik melalui penglibatan tokoh yang mempunyai pengalaman, kepakaran serta integriti yang tinggi.

Perdana Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada Duncan atas pelantikan tersebut.

“Saya berharap pengalaman, kepakaran dan integriti yang dimiliki beliau dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya dalam membantu memperkukuh peranan LPPR,” katanya.

LPPR merupakan sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 13, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

Antara fungsi utama LPPR adalah untuk menasihati Suruhanjaya mengenai aspek dasar dan strategi pembanterasan rasuah, selain meneliti Laporan Tahunan Suruhanjaya dan Ulasan Lembaga sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri melalui Laporan Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JKmR).

Pelantikan Duncan diharap dapat menyumbang kepada pengukuhan peranan LPPR dalam memberikan pandangan dan nasihat dalam usaha mempertingkatkan integriti dan tadbir urus negara.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dan Pengerusi LPPR, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button