BERITA SEMASA

Empat pelajar keluarga berpendapatan rendah terima BAek PTPTN

MELAKA – Empat pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di Melaka menerima inisiatif Biasiswa Anak eKasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (BAeK PTPTN) bagi membantu mereka meneruskan pengajian tinggi tanpa dibelenggu kekangan kewangan.

Penyerahan inisiatif itu disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, hari ini kepada pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Politeknik Melaka.

Empat penerima berkenaan ialah Nurul Shahira Dharmadeydjaya, Muhammad Denial Irfan Rosman, Nur Farhana Bisminoor dan Muhammad Nadzrif Nazmi.

Inisiatif BAeK PTPTN itu merupakan sebahagian usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar untuk melanjutkan pengajian.

BAeK PTPTN yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2026 menyediakan pembiayaan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih.

kpt ptptn
Adam Adli Abdul Halim (tengah) bersama Mastura Mohd Khalid (empat dari kanan) menyerahkan inisiatif Biasiswa Anak eKasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (BAeK PTPTN) kepada salah seorang penerima di Melaka hari ini.

Inisiatif berkenaan terbuka kepada pelajar yang mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah sarjana muda secara sepenuh masa di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) yang diluluskan pinjaman PTPTN, bermula 1 Januari 2026.

“Sejak diperkenalkan pada 1 Januari lalu hingga 31 Ogos 2026, seramai 1,254 pelajar di seluruh negara menerima manfaat BAeK PTPTN membabitkan peruntukan RM20.87 juta,” menurut KPT dalam hantaran di Facebook hari ini.

KPT berkata, pelaksanaan inisiatif itu memberi ruang kepada pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar untuk meneruskan pengajian tinggi tanpa kekangan kewangan.

Usaha itu juga selaras dengan komitmen kerajaan memperluas akses pendidikan tinggi secara inklusif kepada pelajar yang layak.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button