BERITA SEMASA

Tiga sekeluarga maut dalam kebakaran di Tambun

IPOH – Pasangan suami isteri warga emas dan cucu mereka maut dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 4 pagi tadi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambun dan Ipoh bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Raja Ahmad Raja Ali, 70, Zaitun Mohamed, 64, dan Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18, manakala seorang mangsa Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47, selamat kerana dipercayai tidur di ruang parkir rumah berkenaan.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran rumah teres dua tingkat jenis kelas A berkeluasan 20 x 70 kaki dan terbakar kira-kira 70 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sayani berkata mangsa lelaki berusia 70 tahun ditemukan di dalam bilik air tingkat bawah, manakala dua lagi mangsa dijumpai di tingkat atas.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima kesemua mangsa mempunyai pertalian keluarga dan rumah ini dihuni seramai enam orang dan hanya empat sahaja yang berada di dalam rumah sewaktu kejadian berlaku.

Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya dan operasi tamat pada 8 pagi tadi, dan kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button