Pemandu Alza maut selepas bertembung treler di Setiu
SETIU – Seorang lelaki maut selepas Perodua Alza dipandunya bertembung dengan sebuah lori treler Volvo di Kilometer 38, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika mangsa dalam perjalanan dari Jertih menghala ke Kuantan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan dipandunya memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan bahagian hadapan kanan lori treler berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di dalam kenderaan dan dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudian dibawa ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan, manakala pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahril Asri berkata, pihaknya menerima maklumat daripada kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu kira-kira pukul 4.10 pagi bahawa mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta mengutamakan keselamatan ketika memandu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu diminta tampil ke Pejabat Trafik IPD Setiu atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Aliah Syafinah Ani Sarudin di talian 013-6706156 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








