Polis siasat dakwaan wanita mangsa gangguan seksual pegawai kanan Maritim Malaysia
KUALA LUMPUR – Polis telah merakam percakapan perunding kewangan yang mendakwa menjadi mangsa ganggu seksual pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, wanita berusia dalam lingkungan umur 30-an itu dirakam percakapan pada 14 November lalu ketika tampil membuat laporan polis.
“Setakat pukul 2 petang tadi, hanya satu laporan polis diterima iaitu laporan daripada pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu tular polis akan mengambil keterangan pegawai kanan Maritim Malaysia susulan dakwaan terhadapnya membabit kes gangguan seksual, esok.
Razarudin dilaporkan berkata, ia akan diambil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pukul 2.30 petang.
Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan akan menjalankan siasatan babit dakwaan kes gangguan seksual membabitkan seorang pegawai terbabit terhadap seorang wanita.
Kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.