Fahmi seru rakyat bergerak ‘Segulai Sejalai’ bina Malaysia maju, dihormati
KUCHING – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyeru seluruh rakyat Malaysia memperkukuh tekad untuk bergerak seiring dan sejalan atau Segulai Sejalai dalam bahasa Iban bagi membina sebuah negara yang lebih maju, makmur, bersatu dan dihormati di peringkat serantau serta antarabangsa.
Beliau berkata, semangat perpaduan, pembangunan dan kemajuan teknologi perlu terus dijadikan jambatan yang menghubungkan rakyat tanpa mengira negeri, kaum, agama dan latar belakang.
“Marilah kita menjadikan kemajuan Sarawak, pembangunan Sabah dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia sebagai kejayaan bersama,” katanya dalam video ucapan sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, malam ini.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berkata, dalam era digital, kerajaan MADANI terus memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak tidak tercicir daripada arus kemajuan teknologi menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Menurutnya, kemudahan dan pemerkasaan teknologi bukan sekadar menyediakan capaian Internet, sebaliknya menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Pendigitalan bukan sekadar capaian Internet tetapi membuka peluang pendidikan, ekonomi dan keusahawanan untuk semua rakyat tanpa terpinggir,” katanya.
Beliau berkata, bagi merealisasikan agenda itu, kerajaan turut mempergiat pembinaan menara telekomunikasi selain menambah bilangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Katanya, sebanyak 23 NADI di Sarawak yang diluluskan pada 2024 kini sudah siap dan sedia digunakan.
Fahmi turut mengetengahkan kejayaan NADI Pulau Banggi di Sabah yang dinobatkan sebagai juara World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 bagi kategori Pembangunan Kapasiti.
“Kejayaan NADI Pulau Banggi di pentas antarabangsa membuktikan faktor lokasi bukan lagi penghalang untuk mencapai kecemerlangan, selain mencerminkan komitmen kerajaan MADANI dalam memastikan tiada rakyat terpinggir daripada arus pendigitalan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








