JENAYAH & MAHKAMAH

Anggota tentera tidak mengaku salah pertuduhan sepak anak perempuan

KOTA BHARU – Seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana menyepak anak perempuannya yang berusia lima tahun di sebuah restoran ala Thailand dekat Batu 2, Jalan Kuala Krai, minggu lalu.

Tertuduh, Mohamed Nisa Mohamed Nasir, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai bapa kandung kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun tiga bulan didakwa menganiaya kanak-kanak itu dengan cara menyepaknya menggunakan kaki.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai makan, Restoran Baan Suwarin, Batu 2, Jalan Kuala Krai, di sini kira-kira pukul 10.55 malam, 11 September 2026.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam, Zuhaidie Akmal Hasan Basri.

Terdahulu, Syazalia tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut melibatkan kanak-kanak dan terdapat kebarangkalian tinggi untuk tertuduh berhubung atau membuat komunikasi dengan mangsa.

Zuhaidie Akmal dalam rayuannya memohon satu ikat jamin yang rendah dengan alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dengan menjaga isteri dan tiga orang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa, pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap dua bulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button