Laporan siasatan pelanggaran Feri Teluk Bahang dijangka siap bulan ini
GEORGE TOWN – Laporan siasatan berhubung insiden pelanggaran Feri Teluk Bahang dengan kapal MV Mekar Jaya di perairan Pelabuhan Pulau Pinang pada 1 September lalu dijangka diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) bulan ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, siasatan berhubung kejadian itu kini berada pada peringkat akhir sebelum laporan lengkap dikemukakan kepada kementerian berkenaan.
“Siasatan sudah sampai ke tahap akhir. Kita akan kemukakan (laporan akhir) kepada MOT secepat mungkin selepas selesai siasatan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Keretapi Sarong George Town 2026 di Muzium Feri Pulau Pinang, di sini hari ini.
Ditanya sama ada punca pelanggaran itu sudah dikenal pasti, Yeoh berkata perkara berkenaan akan diumumkan pada masa yang sesuai.
Sebelum ini, Jawatankuasa Siasatan Bersama ditubuhkan membabitkan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, SPPP dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) bagi menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam pada 1 September lalu, Feri Teluk Bahang yang dalam perjalanan menuju Terminal Feri Sultan Abdul Halim (PSAH) berlanggar dengan MV Mekar Jaya di perairan Pelabuhan Pulau Pinang.
Insiden itu menyebabkan 21 penumpang feri dilaporkan mengalami kecederaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

