Mohd Marzuki Yusoa’ dilantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu SKM
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperkukuh kepimpinannya menerusi pelantikan Mohd Marzuki Yusoa’ sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa semalam.
Berpengalaman lebih 26 tahun dalam gerakan koperasi, Mohd Marzuki akan menerajui pengurusan serta operasi harian SKM, selain memastikan dasar, strategi dan program pembangunan koperasi dilaksanakan secara berkesan, berintegriti dan memberi impak.
Pelantikan itu dilihat sebagai langkah memperkukuh kepimpinan dan kesinambungan pentadbiran SKM dalam usaha memperkasakan sektor koperasi.
Menurut SKM, pengalaman luas Mohd Marzuki dijangka membantu suruhanjaya itu mendepani landskap gerakan koperasi yang semakin dinamik.
Menurutnya, kepimpinan baharu itu juga diharap dapat meningkatkan daya saing, profesionalisme dan tadbir urus sektor koperasi.
“Pelantikan Mohd Marzuki hadir pada waktu penting ketika gerakan koperasi negara memerlukan pendekatan lebih strategik, inovatif dan peka terhadap perubahan ekonomi serta keperluan anggotanya.
“Di bawah kepimpinan baharu itu, SKM akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem koperasi menerusi pemerkasaan tadbir urus dan peningkatan keupayaan koperasi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, SKM akan mempererat kerjasama dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi memastikan pembangunan gerakan koperasi negara lebih tersusun dan saling melengkapi.
Kerjasama strategik bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kementerian serta agensi kerajaan, kerajaan negeri dan pemegang taruh juga akan dipertingkatkan.
Langkah itu bagi memastikan sektor koperasi terus berkembang dan memainkan peranan sebagai antara pemacu penting ekonomi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








