LUAR NEGARA

Nahas feri di Laut Jawa: Enam maut, 129 masih hilang

JAKARTA – Sekurang-kurangnya enam orang maut manakala 129 lagi masih hilang selepas feri Virgo Transport 8 yang membawa 243 penumpang dan anak kapal terbalik ketika berdepan cuaca buruk di Laut Jawa, awal pagi semalam.

Agensi Pencarian dan Pertolongan Nasional Indonesia (Basarnas) memaklumkan, 108 mangsa berjaya diselamatkan setakat ini, manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan mereka yang masih hilang.

Feri berkenaan membawa 213 penumpang dan 30 anak kapal ketika bertolak dari Surabaya, Jawa Timur menuju Banjarmasin, Kalimantan Selatan, sebelum hilang hubungan dengan pihak pengendali kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan.

kapal
Gambar fail menunjukkan feri Virgo Transport 8 yang dilaporkan hilang di Laut Jawa akibat cuaca buruk awal pagi tadi.

Menurut laporan media Indonesia, nakhoda memaklumkan kapal mula senget selepas dihentam ombak kuat pada bahagian kanan sebelum akhirnya terbalik.

Keadaan laut yang bergelora dengan ombak mencecah sehingga kira-kira tiga meter turut menyukarkan operasi menyelamat.

Seorang mangsa yang terselamat, Rinto Arahab, 33, berkata, suasana bertukar panik apabila kapal mula senget ketika kebanyakan penumpang sedang tidur.

Katanya, dia turut terdengar bunyi seperti besi patah kira-kira lima jam selepas pelayaran bermula sebelum penumpang mula menjerit dan berebut mendapatkan jaket keselamatan.

“Orang ramai mula panik. Ada yang memanjat meja, ada yang bertolak-tolakan antara satu sama lain,” katanya seperti dipetik laporan media antarabangsa.

Rinto berkata, tiada amaran rasmi diberikan anak kapal ketika keadaan mula cemas, sebaliknya seorang individu menjerit memberitahu bahawa kapal berkenaan sudah mula senget.

Katanya, ketika itu dia hanya mampu berpaut pada bahagian kapal sebelum memanjat ke tempat lebih tinggi ketika feri berkenaan terumbang-ambing di laut.

BACA JUGA:
Kapal bawa 243 penumpang, kru hilang di Laut Jawa
Insiden Virgo Transport 8: Wisma Putra belum terima petunjuk rakyat Malaysia terlibat

Dalam perkembangan terbaharu hari ini, lebih 600 anggota penyelamat dikerahkan bagi meneruskan operasi pencarian 129 mangsa yang masih hilang.

Ketua pejabat pencarian dan penyelamatan Banjarmasin, I Putu Sudayana, berkata seramai 622 anggota bersama kira-kira 12 kapal digunakan dalam operasi berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Indonesia, Dudy Purwagandhi berkata, pemerhatian dari udara mendapati feri berkenaan berada dalam keadaan terbalik dan sebahagiannya masih timbul di permukaan laut.

Beliau berkata punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, termasuk kemungkinan faktor cuaca, teknikal atau faktor lain.

Keluarga mangsa yang masih hilang dilaporkan berkumpul di Banjarmasin bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai nasib ahli keluarga mereka.

Virgo Transport 8 merupakan feri sepanjang kira-kira 119 meter yang turut membawa 89 kenderaan selain penumpang dan anak kapal. Kapal itu dibina di Jepun pada 1987 sebelum diperoleh pengendali Indonesia, PT Virgo Karya Shipping.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button