Malaysia-Ethiopia perkukuh hubungan, Rundingan Dua Hala pertama di Kuala Lumpur tahun depan
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Ethiopia bersetuju untuk mengadakan Rundingan Dua Hala pertama di Kuala Lumpur tahun depan sebagai usaha menterjemahkan persetujuan kedua-dua negara kepada tindakan yang nyata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dua hala beliau bersama Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali.
Menurut beliau, hubungan peribadi antara kedua-dua pemimpin serta persahabatan Malaysia-Ethiopia terus mencatat momentum positif susulan kunjungan Abiy ke Malaysia pada 2024 dan lawatan balas beliau ke Ethiopia tahun lalu.
“Pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada September tahun lalu setelah 43 tahun telah menandakan lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua negara.
“Justeru, saya mengundang Ethiopia untuk membuka kedutaannya di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas dukungan Ethiopia terhadap penglibatan Malaysia dalam BRICS.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara turut membincangkan potensi kerjasama dalam beberapa bidang strategik termasuk industri halal, pertanian, keterjaminan makanan, farmaseutikal, perkhidmatan digital, tenaga boleh baharu dan pelancongan.
Perdana Menteri berkata, momentum berkenaan akan terus dipacu bagi memperkukuh hubungan Malaysia-Ethiopia serta membawa manfaat dan kemakmuran kepada rakyat kedua-dua negara.
“Insya-Allah, momentum ini akan terus dipacu demi hubungan Malaysia-Ethiopia yang semakin kukuh serta kemakmuran rakyat kedua-dua negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







