Pendakian maut tak halang Yutaro muncul juara MY100
TAIPING – Pelari Jepun, Yutaro Yokouchi bangkit daripada episod sukar dalam kariernya apabila muncul juara kategori lelaki MY100 pada Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2026 dengan catatan masa 12 jam 18 minit 44 saat.

Pelari berusia 33 tahun yang berasal dari Kobe dan kini menetap di Tokyo itu mengakui kemenangan tersebut amat bermakna selepas gagal menamatkan perlumbaan siri UTMB World Series di Thailand pada Mei lalu.
Menurutnya, kegagalan itu menyebabkan beliau berdepan krisis keyakinan diri selama beberapa bulan sebelum berjaya kembali membuktikan kemampuan sebenar di Taiping.
“Saya tidak berjaya menamatkan perlumbaan UTMB World Series di Thailand pada Mei lalu. Selepas itu, saya bergelut untuk mempercayai diri sendiri selama beberapa bulan.
“Akhirnya saya berjaya menang semula dan saya sangat gembira,” katanya selepas menamatkan perlumbaan hari ini.
Yutaro berkata, sasaran awalnya adalah untuk menamatkan perlumbaan dalam masa 12 jam, namun cabaran di penghujung laluan menyebabkan beliau terlepas sasaran tersebut.
“Saya berada mengikut jadual sehingga 20 kilometer terakhir, tetapi pendakian terakhir sangat sukar. Saya ketinggalan kira-kira 15 minit daripada perancangan asal.
“Bagaimanapun, hari ini saya tidak terlalu memikirkan catatan masa. Apa yang saya mahukan hanyalah gelaran juara,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, kemenangan di Taiping merupakan gelaran kedua dalam siri UTMB World Series selepas pernah menjuarai perlumbaan 50 kilometer di Thailand tahun lalu, namun yang pertama dalam kategori 100 kilometer.
Katanya, beliau mula mendahului perlumbaan selepas melepasi Aid Station 3 pada jarak kira-kira 30 kilometer apabila meninggalkan pencabar dari China yang sebelum itu berlari bersamanya.
“Saya mula yakin boleh menang sekitar kilometer ke-50 kerana ketika itu saya masih mempunyai banyak tenaga,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai laluan perlumbaan di Taiping, Yutaro berkata, ia sebagai laluan yang menyeronokkan, namun mengakui pendakian terakhir menjadi cabaran paling besar.
“Saya suka laluan ini. Saya dapat berlari kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan laluan, tetapi pendakian terakhir memang sangat sukar.
“Pendakian di bahagian awal juga mencabar sehingga ada ketika saya terpaksa berhenti seketika. Turunan terakhir juga sukar kerana permukaannya konkrit,” katanya lagi.
Yutaro berkata, beliau berhasrat untuk terus menguji kemampuan dalam perlumbaan jarak lebih jauh dan bercadang kembali bersaing dalam kategori 100 batu pada tahun depan.
Malah, impian terbesarnya dalam sukan larian denai adalah untuk menamatkan perlumbaan di podium Western States, iaitu antara perlumbaan ultra trail paling berprestij di Amerika Syarikat.
Selepas kejayaan di Taiping, beliau dijadualkan menyertai satu lagi perlumbaan UTMB World Series di Jeju, Korea Selatan sebelum penghujung tahun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








