AGIBot curi tumpuan di M360 ASEAN 2026, pamer aksi lincah menari
KUALA LUMPUR – Sebuah robot humanoid mencuri tumpuan apabila mempamerkan aksi menari pada Persidangan M360 ASEAN 2026 yang berlangsung di sini hari ini.
Dikenali sebagai AGIBot, robot yang dihasilkan sebuah syarikat dari China itu menceriakan suasana apabila gerakan lincah dan bersahajanya menari mengundang perhatian peserta yang tidak melepaskan peluang merakam video serta bergambar bersamanya.
Kehadiran AGIBot memperlihatkan bagaimana teknologi robotik dan AI semakin dekat dengan kehidupan seharian, selain menjadi antara tarikan yang menghidupkan suasana persidangan yang menghimpunkan pemain utama industri digital dan telekomunikasi.
M360 ASEAN 2026 merupakan penganjuran sulung di rantau ini oleh GSMA dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Persidangan yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur selama dua hari itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia, pemain industri komunikasi dan teknologi serta pemegang taruh digital dari ASEAN bagi membincangkan masa depan ekonomi dan ekosistem digital rantau ini.
Antara agenda utama M360 ASEAN 2026 termasuk usaha memperkukuh keterhubungan digital, kecerdasan buatan (AI), keselamatan dan kepercayaan digital, inovasi serta keterangkuman digital.
Penganjuran berkenaan turut menampilkan perbincangan mengenai cabaran dan peluang teknologi baharu dalam membentuk ASEAN yang lebih berdaya tahan, dipercayai dan bersedia menghadapi perubahan digital.
Dalam suasana serius membincangkan masa depan teknologi itu, AGIBot pula tampil dengan pendekatan yang lebih santai iaitu menari dan menjadi antara ‘bintang’ yang paling mudah menarik perhatian kamera.
Kehadiran robot humanoid berkenaan secara tidak langsung memberi gambaran bahawa teknologi yang suatu ketika dahulu hanya dilihat dalam filem dan makmal penyelidikan kini semakin menjadi sebahagian daripada pengalaman dunia sebenar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








