BERITA SEMASA

M360 ASEAN: Malaysia pacu masa depan digital serantau yang dipercayai, inklusif

KUALA LUMPUR – Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam memacu masa depan digital ASEAN yang dipercayai dan inklusif menerusi penganjuran sulung M360 ASEAN 2026.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari di Kuala Lumpur, berakhir hari ini, menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia serta pemain industri bagi memperkukuh dialog serantau berkaitan kesalinghubungan, inovasi dan pembangunan ekosistem digital yang selamat serta dipercayai.

M360 ASEAN 2026 bertemakan ‘Trusted Digital Integration Powering ASEAN’s Connected Future’ dianjurkan GSMA dengan sokongan Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selaku Rakan Penganjur.

m360
Persidangan M360 ASEAN 2026 bakal dijadikan acara tahunan di Kuala Lumpur bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, hala tuju Malaysia adalah jelas dalam memastikan pembangunan digital negara turut diterjemahkan kepada kekuatan serantau.

“Bagi Malaysia, hala tuju kita adalah jelas: kita mesti mengubah kesalinghubungan kepada keupayaan, keupayaan kepada keyakinan, dan kemajuan negara kepada kekuatan serantau.

“Ini merupakan usaha yang melibatkan keseluruhan kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat.

“Sektor komunikasi menyediakan asas bersama yang semakin menjadi sandaran kepada perkhidmatan awam, inovasi dan perusahaan,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan tersebut di Hotel Grand Hyatt, di sini hari ini.

Beliau berkata, ASEAN mempunyai peluang besar untuk meraih manfaat daripada ekonomi digital susulan pemuktamadan rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) pada Mei lalu.

Katanya, ekonomi digital ASEAN diunjurkan mencecah sehingga AS$2 trilion menjelang 2030 sekiranya perjanjian berkenaan dilaksanakan secara berkesan.

Dalam pada itu, Malaysia terus memperkukuh asas digital domestik menerusi pelbagai inisiatif termasuk Jaringan Digital Negara (JENDELA) dengan liputan Internet di kawasan berpenduduk mencapai 99.75 peratus setakat 31 Julai 2026.

Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 pula dilihat memperkukuh kebertanggungjawaban pengendali platform serta perlindungan pengguna dalam persekitaran digital.

Di peringkat ASEAN, Kerangka Kemahiran 5G ASEAN dan Platform Pembangunan Kapasiti yang diterajui MCMC menerusi Akademi MCMC turut diiktiraf sebagai Projek Pemenang pada Anugerah WSIS 2026.

Inisiatif berkenaan menyokong pembangunan keupayaan digital dan kemahiran yang bersedia untuk masa hadapan di kesemua 11 negara anggota ASEAN.

Sebagai Rakan Penganjur M360 ASEAN 2026, MCMC turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam aspek pengawalseliaan dan pembangunan sektor komunikasi, selain mendapatkan pandangan daripada kerajaan, pengawal selia serta pemain industri dari seluruh rantau.

Kementerian Komunikasi dan MCMC akan terus menyokong kerjasama serantau menerusi usaha memperkukuh kesalinghubungan, membina kepercayaan digital serta membolehkan inovasi yang bertanggungjawab demi masa depan bersama ASEAN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button