Tun Abdul Razak pacu pemulihan perpaduan selepas 13 Mei 1969 – Aaron
KUALA LUMPUR – Sumbangan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam memulihkan keamanan dan kestabilan negara selepas peristiwa 13 Mei 1969 menjadi antara asas penting kepada pembinaan perpaduan nasional sehingga hari ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sebagai Pengerusi Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan pada 16 Mei 1969, Tun Abdul Razak memimpin pentadbiran negara dalam tempoh darurat bagi menangani dua cabaran utama ketika itu iaitu memulihkan perpaduan kaum dan mengatasi ketidakseimbangan sosioekonomi.
Katanya, di bawah kepimpinan MAGERAN, Jabatan Perpaduan Negara ditubuhkan pada Julai 1969, manakala Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan pada Januari 1970 sebagai platform membina semula perpaduan nasional.
“Hasil daripada usaha MAGERAN juga, Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan.
“Setelah 56 tahun, Rukun Negara kekal relevan dan terus menjadi kompas dalam membina jati diri serta memperkukuh perpaduan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: ‘Arkitek Pembangunan Negara Bangsa’ di Memorial Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.
Menurutnya, asas yang dibina Tun Abdul Razak itu terus diterjemahkan melalui gerak kerja Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
“Lebih 8,659 Kawasan Rukun Tetangga, 5,507 Skim Rondaan Sukarela dan lebih 1,700 Tabika Perpaduan menjadi platform penglibatan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Dalam mengurus isu perpaduan pula, pendekatan reformative diperkasa melalui perkhidmatan mediasi yang melibatkan 595 mediator dan 12 Pusat Mediasi Komuniti, manakala Sistem RAKAN menjadi saluran bagi rakyat melaporkan isu untuk diambil tindakan segera oleh agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya.
Aaron berkata, penghayatan Rukun Negara turut terus diperkasakan menerusi pendekatan ‘cradle to grave’, bermula seawal usia empat tahun melalui Tabika Perpaduan, diteruskan melalui Kelab Rukun Negara di sekolah dan diperkasakan di institusi pengajian tinggi melalui Sekretariat Rukun Negara.
Katanya, Kerajaan MADANI turut memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penghayatan dan pengamalan Rukun Negara antaranya Gerak Integrasi Perpaduan, Jelajah Belia Rukun Negara, Citra Negaraku dan Arkib@Sekolah.
Dalam pada itu, beliau berkata, sumbangan Tun Abdul Razak turut terserlah dalam bidang pendidikan dan pembangunan sosioekonomi.
“Melalui Penyata Razak 1956, beliau meletakkan asas kepada sistem pendidikan kebangsaan yang menjadikan pendidikan sebagai instrumen penting untuk membina identiti bersama, di samping memelihara kepelbagaian bahasa dan budaya,” katanya.
Dalam pembangunan ekonomi pula, Tun Abdul Razak meletakkan asas kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dan penyusunan semula masyarakat bagi mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi.
Melalui Rancangan Buku Hijau pula, beliau memberi penekanan kepada peningkatan pengeluaran makanan, penggunaan tanah secara optimum dan penambahan pendapatan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








