Usaha jejaki 6 individu hilang, rakaman kamera perangkap akan diperiksa
IPOH – Pasukan mencari yang terlibat dalam operasi pencarian enam individu yang masih hilang di Ekspedisi Trans Gerah akan memeriksa rakaman kamera perangkap hidupan liar di sepanjang laluan pendakian tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak akan mendapatkan khidmat Pasukan Pelindung untuk mengambil rakaman kamera berkenaan bermula esok.
“PERHILITAN akan mendapatkan khidmat Pasukan Pelindung untuk mengambil rakaman perangkap kamera di sepanjang laluan pendakian bermula esok,” katanya.
Langkah itu, katanya, adalah antara beberapa tindakan yang diambil ketika agensi berkaitan mempergiatkan operasi mencari keluarga empat beranak dan dua jurupandu gunung daripada Persatuan Jurupandu Gunung (MGP) yang dilaporkan hilang berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata mesyuarat penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) antara agensi telah diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pukul 9 pagi tadi dan dipengerusikan pihak polis.
“Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat telah ditubuhkan di IPD Gerik, manakala Pos Kawalan Hadapan akan ditempatkan di Dewan Jakoa, Pos Kemar,” katanya lagi.
Mengenai operasi hari ini, Sayani berkata seramai 59 anggota dikerahkan untuk operasi darat.
“Kumpulan tesebut terdiri daripada 25 anggota JBPM, 10 anggota Jabatan Perhutanan Perak, lapan anggota MGP Kelantan, enam anggota MGP Perak dan 10 anggota masyarakat Orang Asli Pos Kemar,” katanya lagi.
Sementara itu, sebuah helikopter Mi-17 milik JBPM dari Pangkalan Udara Subang dijadual menjalankan tinjauan udara mulai jam 2 petang di sekitar laluan pendakian berhampiran Gunung Sepat dan Gunung Belatoh.
Laporan media sebelum ini menyebut, enam individu berkenaan yang terdiri daripada dua anggota MGP dan sebuah keluarga empat beranak termasuk dua kanak-kanak, dilaporkan hilang selepas mereka gagal keluar dari kawasan hutan di Pos Kemar seperti yang dijadualkan.
Kumpulan itu memasuki kawasan hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, Gua Musang, pada 29 Ogos dan dijadualkan keluar di Pos Kemar pada 3 September.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






