BERITA SEMASA

Bekas wartawan Kosmo!, suami dan tiga anak kemalangan, mohon bantuan orang ramai kesan kamera dashcam

RAWANG – Bekas wartawan Kosmo!, Nurul Faiqah Abd Rahman bersama suami, Tengku Muhammad Shah Asyraf dan tiga anak mereka cedera parah selepas kereta yang dinaiki dipercayai dilanggar pemandu yang disyaki mabuk di Kilometer (KM) 440.5 arah selatan, dari Sungai Buaya ke Rawang, awal pagi semalam.

Kemalangan berlaku pada pukul 4.30 pagi membabitkan pasangan itu bersama tiga anak mereka, Amanda, Aqashah dan Amaya.

Difahamkan, kemalangan berkenaan mengakibatkan Tengku Asyraf, 34, dan salah seorang anak mereka mengalami patah tangan dan kaki.

kemalangan
Tangkap layar status mengenai keadaan Nurul Faiqah selepas kemalangan tersebut.

Nurul Faiqah, 34, juga dikatakan baru selesai berpantang selepas melahirkan anak ketiga, Amaya, kira-kira dua bulan lalu.

Dalam hantaran yang dikongsikan ahli keluarga di Instagram Story, orang ramai turut diminta membantu sekiranya mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau menyaksikan kejadian berkenaan.

Menurutnya, dashcam daripada kenderaan yang terlibat dipercayai hilang, menyebabkan rakaman daripada pengguna jalan raya lain amat diperlukan bagi membantu siasatan.

“Mohon sesiapa yang mempunyai rakaman dashcam di sekitar lokasi KM440.5 arah selatan dari Sungai Buaya ke Rawang pada waktu kejadian, Ahad (6 September 2026) pukul 4.30 pagi tampil membantu.

“Rakaman orang awam mungkin menjadi bukti yang sangat penting,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga turut memohon orang ramai mendoakan agar pembedahan Tengku Asyraf dipermudahkan, dilindungi daripada sebarang komplikasi dan diberikan kesembuhan sempurna.

Nurul Faiqah dan Tengku Asyraf, masing-masing pernah bertugas sebagai wartawan di akhbar Kosmo! sebelum mendirikan rumah tangga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button