BERITA SEMASA

Maritim Malaysia rampas lebih 600 katrij vape disyaki ‘piu-piu’

BATU PAHAT Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas lebih 600 kartrij vape yang disyaki mengandungi cecair dadah jenis ‘piu piu’ dalam operasi penguatkuasaan di perairan Senggarang, di sini, pagi semalam.

Rampasan itu dilakukan Ibu Pejabat Maritim Zon Batu Pahat selepas pasukan bot peronda mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan di perairan berkenaan.

Pengarah Maritim Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, sebaik menyedari kehadiran bot Maritim Malaysia, suspek yang berada di atas bot terbabit bertindak melarikan diri.

“Suspek bertindak melarikan diri bersama bot fiber berkenaan sebaik menyedari kehadiran bot Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan sebuah beg hitam yang mengandungi lebih 600 kartrij vape berisi cecair yang disyaki mengandungi bahan dadah jenis ‘Piu Piu’.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM160,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Paket dipercayai mengandungi katrij vape ‘piu-piu’ dirampas dalam operasi di Senggarang, Johor, semalam.

Beliau berkata, kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Batu Pahat untuk tindakan serta siasatan lanjut.

Katanya, sampel cecair vape berkenaan akan dihantar ke makmal bagi menjalani analisis untuk mengesahkan kandungan bahan yang disyaki sebagai dadah.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menyeru orang awam dan komuniti maritim supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara.

Langkah itu penting bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah selain memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button