BERITA SEMASA

Sisa tumpahan sabun punca KESAS ‘bertukar salji’

SHAH ALAM – Keadaan di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) arah Klang ke Kuala Lumpur yang diselaputi buih petang semalam rupanya berpunca daripada sisa muatan sabun yang tertumpah lebih seminggu lalu bertindak balas susulan hujan lebat.

Keadaan itu dikesan pada pukul 3.10 petang membabitkan laluan sepanjang 500 meter (m) di Kilometer 30 hingga Kilometer 30.5 KESAS.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asistan Komisioner Sarudin Samah berkata, siasatan mendapati sisa sabun berkenaan dipercayai berasal daripada muatan sebuah lori yang tertumpah pada 24 Ogos lalu di susur Kota Kemuning sebelum memasuki KESAS arah Klang.

Menurutnya, pihak bomba ketika kejadian telah mengambil tindakan dengan menabur serbuk kayu di sepanjang lokasi yang terjejas bagi membersihkan sisa sabun berkenaan.

“Bagaimanapun, hujan lebat yang berlaku hari ini (semalam) menyebabkan sisa tumpahan sabun itu mengeluarkan sejumlah buih sepanjang kira-kira 500m.

“Pihak konsesi lebuh raya kemudiannya mengambil inisiatif menjalankan kerja pembersihan kali kedua dan ia berjaya diselesaikan pada pukul 4.58 petang semalam,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Terdahulu, keadaan lebuh raya berkenaan yang diselaputi cecair putih tular di media sosial, dengan sebahagian pengguna menyifatkannya seolah-olah ‘dilanda salji’.

Beberapa rakaman turut menunjukkan permukaan lebuh raya dipenuhi buih serta kesan tayar kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

Keadaan jalan yang licin susulan buih terbabit turut mencetuskan kebimbangan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button