Jika begini mereka mentadbir, tidak hairan TH dan Felda hampir melingkup – Kamil Munim tempelak Akmal
KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menempelak Dr Muhammad Akmal Saleh yang mendakwa beliau tidak memahami asas kewangan kerajaan, dengan menegaskan hujah yang dikemukakannya sebelum ini bersandarkan kenyataan rasmi Kementerian Kewangan (MOF).
Menurutnya, kenyataan yang dirujuk itu bukan dibuat berdasarkan andaian atau petikan sembarangan, sebaliknya merupakan penjelasan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata, KSP menjelaskan bahawa tiada sekatan terhadap peruntukan projek jalan luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), malah peruntukan telah disalurkan sepenuhnya.
“Beliau sendiri menjelaskan bahawa tiada sekatan terhadap peruntukan projek jalan luar bandar KKDW, peruntukan telah disalurkan sepenuhnya dan kekangan pembayaran kepada kontraktor berlaku apabila peruntukan tahun semasa hampir habis dibelanjakan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan angka yang dikemukakan MOF bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.
Menurutnya, pada 2023, RM1.1 bilion diperuntukkan, namun RM1.8 bilion dibelanjakan.
Bagi 2024 pula, RM1.3 bilion diperuntukkan berbanding RM2.0 bilion yang dibelanjakan, manakala pada 2025, RM1.6 bilion diperuntukkan tetapi RM2.3 bilion dibelanjakan.
“Jika kenyataan saya berdasarkan penjelasan KSP dianggap sebagai ‘tak faham asas kewangan kerajaan’, persoalan saya, adakah Akmal juga mengatakan KSP tidak faham asas kewangan kerajaan?” soalnya.
Beliau turut menyifatkan Johan sebagai penjawat awam kanan yang cekap dan teliti dalam urusan pentadbiran kewangan negara.
Pada masa sama, beliau menegaskan tidak mempertikaikan peruntukan yang dibelanjakan bagi pembinaan jalan untuk rakyat luar bandar, kerana golongan berkenaan berhak menerima pembangunan.
Bagaimanapun, katanya, keperluan pembangunan rakyat dan disiplin dalam menguruskan wang awam tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang bercanggah.
“Jika begini cara mereka mentadbir dan mengurus tatacara kewangan, maka tidak hairan apabila institusi seperti Tabung Haji dan Felda sebelum ini hampir melingkup. Apatah lagi terlibat dalam skandal gergasi seperti 1MDB,” katanya.
Semalam Johan Mahmood, dilaporkan berkata sejak beberapa tahun lalu, KKDW telah membuat komitmen serta berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan untuk projek jalan luar bandar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








