Ketua Pemuda UMNO desak pendakwaan segera kes bendera terbalik
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mendesak pihak pendakwa raya mengambil tindakan segera terhadap individu yang terlibat dalam insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis perniagaan baru-baru ini.
Menurut beliau, rakyat telah menghormati proses undang-undang dengan tidak mengadakan sebarang perhimpunan hari ini, memandangkan kertas siasatan polis telah diserahkan pada hari sama.
“Kami mendesak pihak pendakwa raya untuk mendakwa ‘apek’ ini atas kesalahan yang telah dilakukan.
“”Kita akan bagi pada pendakwa raya selama dua hari iaitu esok (Selasa) dan Rabu. Jika tidak ada langsung pendakwaan ke atas individu ini, maka hari Khamis, saya akan turun dan kita akan beri kelas untuk ajar apek ini cara bagaimana nak pasang bendera dengan betul,” tegasnya dalam satu hantaran di media sosial sebentar tadi.
Dr Akmal menegaskan bahawa Pemuda UMNO telah menghormati prinsip undang-undang dan kini menunggu tindakan lanjut daripada pihak pendakwa raya.
Tambahnya, polis telah menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 5 Akta Lambang, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Justeru, pihaknya memberi ruang agar keadilan dapat dilaksanakan.

“Biarlah individu ini dapat didakwa dan diadili di mahkamah. Itu kita hormat dengan undang-undang. Tapi kita minta biarlah dia didakwa atas seksyen yang lebih berat supaya diberikan hukuman yang jauh lebih berat kepada petualang ini,” katanya.
Pada 8 Ogos lalu, tular di media sosial video dua individu memasang Jalur Gemilang secara terbalik di hadapan sebuah kedai perkakasan di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.
Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








