Jangan serang peribadi Uqasha, jangan libatkan anak dan soal rezeki – Kamal Adli
KUALA LUMPUR – Pelakon, Kamal Adli memohon orang ramai supaya tidak menyerang secara peribadi pelakon yang juga bekas isterinya, Uqasha Senrose susulan isu berkaitan drama Madu atau Racun yang sedang menjadi perhatian di media sosial.
Menerusi hantaran di Threads, Kamal turut memohon agar kontroversi terbabit tidak diperluaskan sehingga melibatkan nama anaknya, Hawra, serta perkara-perkara peribadi lain.
Beliau menegaskan bahawa dirinya tidak menyokong isu yang diperkatakan, namun meminta orang ramai supaya tidak mencampurkan persoalan peribadi dan rezeki Uqasha dalam perkara berkenaan.
“Pasal isu drama Madu atau Racun tu, harap sangat korang jangan attack personal Uqasha boleh sampai melibatkan nama anak saya, Hawra, dan benda lain.
“Saya tak sokong, tapi janganlah sampai libatkan personal semua dan rezeki Uqasha,” katanya.
Semalam Uqasha tidak mampu menyembunyikan kekecewaan apabila kecaman terhadap drama lakonannya turut mengheret soal peribadi dan anaknya.
Luahan itu dipercayai susulan kecaman diterima Uqasha selepas beberapa klip drama Madu atau Racun tular di media sosial dan mencetuskan kontroversi susulan kandungan yang didakwa menyentuh isu LGBTQ.
Drama terbitan iQIYI itu turut menampilkan Aliff Aziz dan Elisya Sandha sebagai teraju utama.
Madu atau Racun mengisahkan Azura lakonan Uqasha yang berusaha menjadi isteri sempurna, namun rumah tangganya diuji apabila suaminya, Adli lakonan Aliff, mengambil keputusan untuk berkahwin lagi dengan Nikita lakonan Elisya.
Konflik menjadi semakin tegang apabila kedua-dua isteri dibawa tinggal sebumbung sehingga mencetuskan pelbagai krisis, termasuk kejadian misteri yang mengorbankan nyawa Adli.
Uqasha menerusi Instagram Story (IGs) miliknya berkata, klip yang dikongsi di media sosial bukan gambaran keseluruhan jalan cerita drama Madu atau Racun, sebaliknya sudah melalui proses suntingan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












