Asyraf Wajdi enggan berundur kerana desakan AMK, PKR
KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan beliau tidak akan berundur daripada jawatan itu hanya kerana desakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan PKR.
Beliau berkata, keputusan mengenai kedudukannya sebagai Pengerusi MARA hanya terletak pada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melantiknya.
“Kalau misalnya Menteri KKDW minta saya berhenti, saya berhenti. Tapi bukan atas desakan AMK atau PKR.
“Begitu juga dengan isu RCI Tabung Haji, ia tiada relevan kerana tidak ada disebut nama saya dalam RCI Tabung Haji. Saya juga tidak pernah dikaitkan dengan isu Tabung Haji dan sebagainya,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini, hari ini.
Baca juga : Asyraf Wajdi tuntut RM5 juta dalam saman fitnah isu Tabung Haji
Sebelum ini, kepimpinan AMK mendesak Asyraf Wajdi melepaskan jawatan berkenaan atas alasan integriti susulan dakwaan beliau mempunyai kaitan dengan isu Lembaga Tabung Haji (TH) ketika memegang portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Tuntutan itu turut mendapat perhatian dalam Kongres Nasional PKR apabila beberapa perwakilan secara terbuka menggesa jawatan Pengerusi MARA diberikan kepada pemimpin parti berkenaan, dengan alasan keperluan membawa nafas baharu bagi meneruskan agenda reformasi institusi berkenaan.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, fokusnya sepanjang menerajui MARA adalah memperkukuh institusi itu, termasuk dari aspek tadbir urus, supaya terus berfungsi tanpa terjejas akibat sebarang persepsi negatif.
Beliau berkata, tanggungjawabnya adalah memastikan amanah parti untuk menjaga MARA, yang lahir daripada rahim UMNO sebagai institusi yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, terus dipelihara.
Katanya, sepanjang hampir tiga tahun mengetuai MARA, beliau memberi keutamaan kepada pengukuhan agenda pendidikan dan keusahawanan orang Melayu, selain memperkemas tadbir urus institusi berkenaan.
Tegas Asyraf Wajdi lagi, kedudukan MARA sebagai institusi yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera perlu dipertahankan daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan reputasi serta imejnya.
“Ini adalah institusi orang Melayu dan Bumiputera dan sepanjang tiga tahun ini saya meletakkan asas penting untuk memastikan agenda pendidikan, usahawan orang Melayu ini terpelihara dan dapat kita perkasakan soal tadbir urus institusi yang kita perkemaskan.
“Saya bukan lama pun di MARA ini, maknanya yang paling penting institusi ini akan tetap dipertahankan. Jangan ada usaha-usaha untuk merobek reputasinya,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








