BERITA SEMASA

Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun lima sen

PUTRAJAYA – Harga runcit semua produk petroleum tanpa subsidi turun lima sen seliter bagi tempoh 3 hingga 9 September ini.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, harga RON97 ditetapkan pada RM4.25 seliter berbanding RM4.30 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi turun kepada RM3.77 daripada RM3.82 seliter.

Harga diesel tanpa subsidi pula diturunkan kepada RM4.67 seliter berbanding RM4.72 seliter pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, harga petroleum bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter bagi RON95 di bawah BUDI Madani RON95 (BUDI95), manakala diesel di bawah BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) kekal RM2.10 seliter.

“Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.78 seliter, bersamaan 47 peratus daripada harga tanpa subsidi.

“Penerima BUDI Diesel pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM4.67 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM2.57 seliter atau 55 peratus daripada harga tanpa subsidi,” menurut kenyataan itu hari ini.

MOF berkata, harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) turut kekal masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Menurut kementerian itu, penurunan harga minggu ini mencerminkan harga minyak mentah dunia yang diniagakan pada paras lebih rendah bagi sebahagian besar tempoh pengiraan berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM).

Bagaimanapun, harga minyak mentah kembali meningkat pada penghujung tempoh berikutan peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

“Walaupun harga minyak mentah Brent telah menyederhana daripada paras puncak konflik Asia Barat, pasaran produk petroleum bertapis dunia kekal ketat berikutan gangguan aliran petroleum melalui Selat Hormuz, penyusutan kapasiti penapisan di beberapa negara serta sekatan eksport bahan api.

“Faktor-faktor ini dijangka terus menyebabkan turun naik harga dalam tempoh terdekat dan kerajaan akan terus melindungi rakyat serta perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global, termasuk mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna layak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button