LUAR NEGARA

John Ternus ambil alih jawatan CEO Apple, terima gaji RM12.6 juta sebulan

SAN FRANCISCO – John Ternus secara rasmi mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, menggantikan Tim Cook yang mengemudi gergasi teknologi itu selama 15 tahun.

Pertukaran kepimpinan itu menyaksikan Apple beralih daripada seorang tokoh yang terkenal dengan kepakaran dalam operasi dan rantaian bekalan kepada seorang jurutera yang memainkan peranan penting dalam pembangunan perkakasan syarikat berkenaan.

Ternus, 51, menyertai Apple pada 2001 dan kemudiannya meningkat ke jawatan Naib Presiden Kanan Kejuruteraan Perkakasan, mengetuai pasukan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan keseluruhan barisan produk syarikat itu.

Cook dalam memo kepada kakitangan pada Isnin lalu memuji penggantinya dengan menyifatkan Ternus sebagai antara individu yang paling memahami proses menghasilkan produk yang mampu mengubah dunia.

Pelantikan itu turut dikatakan tiba pada detik penting syarikat tersebut yang mana Ternus bakal membuat penampilan sulung sebagai CEO pada acara pelancaran tahunan syarikat berkenaan 9 September ini.

Apple dijangka memperkenalkan beberapa produk baharu pada acara berkenaan, termasuk spekulasi mengenai pelancaran iPhone boleh lipat pertamanya.

Menurut pemfailan sekuriti pada Selasa, Ternus akan menerima gaji asas AS$3 juta (RM12.6 juta), sama seperti gaji asas Cook sebelum ini.

Manakala jumlah pampasan keseluruhannya bagi tahun pertama berpotensi mencecah AS$58 juta (RM243 juta), termasuk pilihan saham.

Sementara itu, gaji asas Cook akan dikurangkan kepada AS$2 juta (RM8.4 juta), dengan jumlah pampasan sehingga AS$47 juta (RM197 juta) selepas beliau mengambil alih peranan sebagai pengerusi eksekutif lembaga pengarah.

Sebagai CEO baharu, Ternus turut mewarisi pelbagai cabaran geopolitik yang kompleks, khususnya berkaitan rangkaian pengeluaran Apple yang masih banyak bergantung kepada China.

Sepanjang tempoh kepimpinannya, Cook membina hubungan dengan Beijing dan Washington bagi melindungi rangkaian pembuatan Apple, selain mengembangkan operasi ke negara seperti India dan Vietnam.

Bagaimanapun, China masih menjadi komponen penting dalam rantaian pengeluaran syarikat itu.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebelum ini berulang kali mendesak Apple meningkatkan pengeluaran iPhone di negara itu.

Cook dijangka kekal memainkan peranan aktif dalam urusan geopolitik Apple menerusi kedudukannya sebagai pengerusi eksekutif, termasuk berhubung dengan pembuat dasar di pelbagai negara.

Penganalisis Wedbush, Dan Ives, berkata, Ternus mempunyai pemahaman yang sangat mendalam mengenai aspek perkakasan Apple selepas bertahun-tahun terlibat secara langsung dalam pembangunan produk syarikat itu.

Bagaimanapun, menurutnya, pengalaman Ternus di pentas global masih perlu dibentuk ketika beliau mengambil alih tanggungjawab sebagai CEO.

Beliau menyifatkan keupayaan mengurus hubungan antarabangsa sebagai antara bidang utama yang perlu dipelajari Ternus dalam tempoh awal kepimpinannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button