Shahul Hameed dilantik GM, CEO Green Packet
KUALA LUMPUR – Green Packet Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Shahul Hameed Dawood sebagai Pengarah Urusan (GM) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan yang baharu, berkuat kuasa semalam.
Dalam satu kenyataan, syarikat penyedia penyelesaian teknologi terkemuka Malaysia itu berkata, pelantikan tersebut merupakan langkah strategik yang menandakan fasa penjenamaan semula dan hala tuju baharu syarikat ke arah pertumbuhan digital yang lebih inklusif dan berskala serantau.
“Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad dalam pelbagai sektor, Datuk Shahul Hameed merupakan tokoh berwibawa dalam memacu transformasi organisasi dan menjalin sinergi antara sektor awam dan swasta.
“Beliau sebelum ini menerajui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan memainkan peranan penting dalam merangka dan melaksanakan agenda pembangunan bakat nasional yang memberi impak kepada jutaan rakyat Malaysia,” jelas kenyataan tersebut.
Di peringkat antarabangsa, Shahul Hameed turut dikenali sebagai pemimpin yang mahir membina rangkaian kerjasama rentas sempadan iaitu daripada pembuat dasar dan pemimpin korporat hinggalah ke peringkat akar umbi.

Ini menjadikannya individu yang tepat untuk menerajui Green Packet ke arah menjadi peneraju keterhubungan digital dan penyelesaian teknologi yang bermakna.
Mengulas mengenai pelantikannya, Shahul Hameed berkata, peranan itu bukan sekadar memimpin sebuah syarikat tetapi ia tentang menyelaraskan teknologi dengan kemajuan dunia sebenar.
“Saya menantikan peluang untuk bekerjasama dengan pasukan dan rakan kongsi kami dalam membentuk penyelesaian yang bermakna di peringkat tempatan dan global,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Pelantikan itu juga memberi isyarat jelas tentang komitmen Green Packet dalam memperkukuh fokus terhadap inovasi inklusif, keterangkuman digital dan pertumbuhan mampan di seluruh ASEAN dan seterusnya.
Di bawah kepimpinan baharu, syarikat itu menyasarkan untuk menjadi pemangkin kepada transformasi digital serantau, bukan sekadar mengejar keuntungan komersial tetapi juga mencipta nilai sosial dan impak jangka panjang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








