BERITA SEMASA

Lelaki terlibat provokasi sambutan Hari Kebangsaan diminta hadir ke IPD Putrajaya

PUTRAJAYA – Polis meminta seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian provokasi ketika Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya semalam supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya setakat ini menerima empat laporan polis berkaitan kejadian berkenaan.

Menurutnya, polis turut mengesan satu video berdurasi dua minit 18 saat yang dimuat naik di Facebook oleh pemilik akaun ‘Anwar Captain Goose’.

“Video itu memaparkan seorang lelaki berbaju oren atau coklat dipercayai membuat provokasi sebelum merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar tempat duduk.

“Keadaan itu menyebabkan berlaku tolak-menolak dan beberapa individu terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5 pagi, 31 Ogos.

Aidi Sham turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sebelum ini, kejadian berkenaan tular di beberapa platform media sosial selepas seorang lelaki didakwa mencetuskan provokasi apabila cuba melompat pagar untuk memasuki kawasan tempat duduk ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button