Miss Equality World 2026 berlangsung di Thailand, bukan Pulau Pinang – Mufti
GEORGE TOWN – Pertandingan Miss Equality World 2026 yang tular di media sosial baru-baru ini sebenarnya berlangsung di Bangkok, Thailand, dan bukannya di Pulau Pinang.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, semakan terhadap maklumat rasmi penganjur mendapati pertandingan itu berlangsung dari 22 hingga 30 Ogos lalu di Bangkok.
Beliau berkata, terdapat seorang peserta yang membawa nama Malaysia, namun penyertaan individu berkenaan tidak bermaksud beliau merupakan wakil rasmi Kerajaan Malaysia.
“Pembetulan ini penting. Islam menuntut kita berlaku adil terhadap fakta sekalipun terhadap perkara yang kita tentang,” katanya nemetik laporan Utusan Online.
Dalam pada itu, Mohd Sukki menegaskan pendirian Islam berhubung seseorang yang sengaja menyerupai atau mengubah dirinya kepada jantina yang berlawanan.
Bagaimanapun, katanya, keadaan khunsa atau intersex adalah berbeza kerana ia melibatkan aspek biologi tertentu dan memerlukan penilaian pakar bagi menentukan jantina sebenar.
Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati agar budaya LGBTQ tidak dipromosi, diraikan atau dinormalisasikan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Namun, kita perlu membezakan antara hukum syarak dengan kesalahan jenayah. Sesuatu pendakwaan bergantung kepada peruntukan undang-undang, lokasi, bidang kuasa dan pembuktian, apatah lagi pertandingan yang diperkatakan ini berlangsung di Thailand.
“Oleh itu, masyarakat jangan mengambil undang-undang ke tangan sendiri. Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, serahkan kepada pihak berautoriti untuk menilai dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan ketegasan terhadap LGBTQ tidak bermaksud umat Islam boleh menghina, membenci atau menzalimi individu yang terlibat.
“Pendirian kita mesti jelas, kita menolak normalisasi LGBTQ, tetapi tidak menzalimi manusia. Kita tegas mengatakan yang haram tetap haram, tetapi tidak pernah menutup pintu taubat.
“Dalam dunia yang semakin berubah, umat Islam jangan kehilangan kompas agama hanya kerana tekanan budaya dan perubahan zaman. Apa yang popular tidak semestinya benar dan apa yang diraikan manusia tidak semestinya diredai Allah,” katanya.
Terdahulu, tular satu video yang dimuat naik di TikTok PU Syed Original memaparkan seorang lelaki yang didakwa berperwatakan wanita berucap pada satu majlis, sekali gus mengundang kecaman pengguna media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







