BERITA SEMASA

BERSATU sambut baik langkah PM ringankan beban rakyat, bantu perniagaan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung langkah-langkah bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu sektor perniagaan serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin
berkata, keputusan mengembalikan had kelayakan subsidi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan dijangka dapat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

Menurutnya, kenaikan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada perniagaan dengan hasil jualan sehingga RM3 juta setahun pula mampu membantu perniagaan yang sedang berdepan peningkatan kos operasi.

“Langkah-langkah lain yang membabitkan peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah-sekolah berjumlah RM500 juta, pendigitalan perkhidmatan kesihatan, akses kepada langganan perisian kecerdasan buatan untuk belia, penambahan kemudahan mikro kredit sebanyak RM1 bilion untuk peniaga kecil dan geran RM200 juta untuk membantu penjaja kecil, peniaga pasar malam dan wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah diharapkan akan dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Ini termasuk dalam bidang pendidikan, kesihatan dan ekonomi digital serta merancakkan perniagaan khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, susulan pengumuman berkenaan, kementerian dan agensi kerajaan berkaitan perlu menyalurkan peruntukan dengan segera serta memastikan setiap bantuan sampai kepada individu dan perniagaan yang layak.

Pada masa sama, beliau berharap langkah berkenaan disusuli dengan pendekatan lebih komprehensif bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu perniagaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi Belanjawan 2027.

“Ini termasuk mengkaji semula dasar mengenai percukaian dan rasionalisasi subsidi yang dilihat memberikan kesan langsung kepada beban yang sedang ditanggung oleh rakyat pada masa ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button