MCMC sambut baik tambahan RM350 juta, peruntukan digital kesihatan kini RM1 bilion
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik tambahan peruntukan RM350 juta bagi mempercepat pendigitalan sektor kesihatan awam, menjadikan keseluruhan peruntukan kepada RM1 bilion.
Menurut MCMC, peruntukan tambahan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan memperkukuh usaha memperluas ketersambungan Internet dan pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR).
Katanya, tambahan kepada peruntukan awal RM650 juta itu turut memperkukuh pelaksanaan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA), selain melengkapi usaha pendigitalan yang sedang dirancang di klinik kesihatan dan hospital awam.
“Langkah ini penting dalam merealisasikan aspirasi ‘Satu Individu, Satu Rekod’, sekali gus membolehkan maklumat kesihatan pesakit diakses dengan lebih cekap dan terselaras merentas fasiliti kesihatan awam.
“Kerjasama rentas kementerian (whole-of-government) ini dijangka mempercepat usaha pendigitalan dari tahun 2045 ke tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga : RM1 bilion tambah baik digital kesihatan awam, akses WiFi klinik, hospital diperluas – Fahmi
Terdahulu, Anwar mengumumkan MCMC akan menyediakan peruntukan RM1 bilion bagi pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik, ketersambungan internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam di seluruh negar
MCMC berkata, pendigitalan perkhidmatan kesihatan dapat memudahkan urusan rawatan, mengurangkan masa menunggu dan kos tidak langsung, khususnya bagi golongan B40 dan M40.
Usaha itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 pesakit setiap hari yang mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan dan hospital awam.
MCMC turut menghargai komitmen Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan perdana menteri yang terus memberi keutamaan kepada langkah meringankan beban kewangan rakyat, di samping memperkukuh mutu dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
MCMC berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pemain industri bagi membangunkan ekosistem kesihatan awam digital yang kukuh, saling berhubung dan bersedia untuk masa hadapan demi perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan mudah diakses rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








