AGAMABERITA SEMASA

JAINJ tahan duda, gadis 18 tahun dalam bilik sewa di Pasir Gudang

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan seorang duda berusia 40-an bersama seorang gadis berusia 18 tahun selepas mereka ditemui berada dalam sebuah bilik sewa di rumah kedai di Pasir Gudang di sini, awal pagi tadi.

Menurut JAINJ, ketika pemeriksaan kira-kira pukul 2.15 pagi itu, penguat kuasa mendapati lelaki berkenaan berada di dalam bilik bersama gadis terbabit dan anak lelakinya berusia sembilan tahun.

“Pemeriksaan mendapati gadis berkenaan sedang berada di atas katil bujang, manakala kanak-kanak terbabit tidur di lantai beralaskan selimut dan bantal.

“Lelaki itu yang bekerja di Pasir Gudang mengaku berstatus duda anak dua, manakala gadis terbabit masih belum berkahwin dan tidak bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, ketika disoal siasat, pasangan itu pada awalnya memberi alasan gadis berkenaan datang ke bilik tersebut untuk membantu mengemas rumah.

Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati gadis berkenaan yang tinggal kira-kira 15 kilometer dari situ kerap datang ke premis berkenaan, iaitu kira-kira dua hingga tiga kali seminggu.

Katanya, lelaki terbabit menyewa bilik berkenaan bersama anaknya, manakala bekas isterinya menjaga seorang lagi anak mereka. “Lebih mengelirukan apabila kanak-kanak berkenaan memanggil lelaki itu sebagai ‘papa’ dan gadis terbabit sebagai ‘mama’.

“Apabila ditanya sama ada mereka sudah berkahwin, kedua-duanya mengakui belum berkahwin dan hanya merancang untuk bernikah tidak lama lagi,” katanya.

Susulan pengakuan itu, pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button