LUAR NEGARA

Wanita saman Singapore Airlines selepas suami maut akibat gegaran udara

LONDON – Seorang wanita warga Britain mengambil tindakan undang-undang terhadap Singapore Airlines selepas suaminya maut dan dia mengalami kecederaan serius akibat gegaran udara teruk ketika penerbangan dari London ke Singapura pada Mei 2024.

Menurut laporan BBC News, Linda Kitchen, 74, dari Thornbury, dekat Bristol, memfailkan prosiding di Mahkamah Tinggi bagi menuntut ganti rugi daripada syarikat penerbangan berkenaan yang akan digunakan bagi mendapatkan sokongan serta rawatan khusus untuk kecederaan belakang yang dialaminya.

Peguam wanita itu berkata, suaminya, Geoff Kitchen, 73, mengalami kecederaan sebelum maut selepas pesawat Singapore Airlines berkenaan secara tiba-tiba menjunam kira-kira 6,000 kaki (1,828 meter) ketika melalui ruang udara Myanmar.

saman
Pesawat Singapore Airlines. – Foto Hiasan

Kejadian berlaku ketika pasangan yang disifatkan sebagai ‘teman sejiwa’ itu dalam perjalanan memulakan percutian selama enam minggu ke Singapura, Indonesia dan Australia.

Pesawat berkenaan kemudian dilencongkan ke Bangkok, Thailand untuk melakukan pendaratan kecemasan.

“Apabila saya terpisah daripada Geoff, saya tahu keadaannya sangat teruk, tetapi tiada apa yang mempersiapkan saya untuk mendengar bahawa dia sudah meninggal dunia. Ia benar-benar amat menyedihkan,” kata Linda.

Menurutnya, penerbangan berkenaan pada mulanya hanya mengalami sedikit gegaran ketika melalui ruang udara Eropah sebelum keadaan menjadi lebih bergoncang ketika merentasi lautan.

Bagaimanapun, kira-kira 10 jam selepas penerbangan bermula, pesawat berdepan gegaran udara yang sangat kuat.

“Ia sangat teruk sehingga terasa seperti pesawat sedang menjunam. Saya menyedari Kindle saya dan telefon Geoff sudah jatuh ke lantai, lalu saya menyangka pesawat sedang terhempas,” katanya.

Linda berkata, ketika pesawat menjunam secara mendadak, suaminya tercampak dan jatuh di atas tubuhnya sehingga menyebabkan dia tersepit pada tempat letak tangan.

Penumpang lain kemudiannya membantu mengalihkan Geoff sebelum seorang doktor yang berada dalam pesawat memberikan bantuan kecemasan dan melakukan CPR.

Linda dibawa ke hospital selepas pesawat mendarat, namun ketika itu Geoff masih berada di dalam pesawat.

Dia hanya dimaklumkan mengenai kematian suaminya dua hari kemudian. Geoff dipercayai mengalami serangan jantung selepas pesawat itu menjunam secara tiba-tiba ketika berada pada altitud tinggi.

Peguam penerbangan yang mewakili Linda, Anthe Korelidou berkata, kecederaan maut yang dialami Geoff serta kecederaan parah Linda jelas menggambarkan betapa seriusnya insiden itu.

“Apa yang Linda mahukan ialah siasatan paling menyeluruh dijalankan. Prosiding di Mahkamah Tinggi ini merupakan satu pencapaian penting untuk membantu memberikan jawapan yang sewajarnya kepada insan tersayang Geoff,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button