BISNES & EKONOMI

ANAAKA tingkat standard industri kecantikan berteras nilai halal

KUALA LUMPUR – Konsep halal dalam industri kecantikan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pensijilan untuk pengguna Islam, sebaliknya mampu menjadi penanda aras kepada aspek kepercayaan, ketelusan, kebersihan dan kualiti produk.

Pengasas produk penjagaan kulit premium ANAAKA, Adam Chukri berkata, persepsi itu perlu diperluaskan kerana nilai yang terkandung dalam konsep halal sebenarnya relevan kepada semua pengguna tanpa mengira agama.

Katanya, kajian yang dijalankan sebelum ANAAKA memasuki pasaran Slovakia mendapati 78 peratus responden mengaitkan istilah halal dengan daging, manakala sebahagian yang lain mengakui tidak mengetahui maksud sebenar istilah berkenaan.

“Ketika itu saya sedar bahawa saya bukan sekadar membina jenama halal, tetapi jenama yang berasaskan kepercayaan.

“Pengguna mungkin tidak secara khusus mencari produk halal, tetapi mereka sentiasa mencari produk yang boleh dipercayai,” katanya.

Menurut Adam, piawaian halal bukan hanya bermula selepas sesuatu produk mendapat pensijilan, sebaliknya melibatkan keseluruhan proses termasuk pemilihan bahan mentah, penyelidikan, formulasi, pembuatan, kawalan kualiti dan pembungkusan.

“Pensijilan hanyalah pengesahan terakhir. Halal bukan bertujuan mengehadkan siapa yang boleh menggunakan sesuatu produk, tetapi meningkatkan standard untuk semua.

“Kebersihan, keselamatan, ketelusan dan integriti adalah nilai yang boleh dihargai oleh semua pengguna,” katanya.

Berteraskan pendekatan itu, ANAAKA menggabungkan konsep halal dengan formulasi yang memberi tumpuan kepada kesihatan dan keperluan semula jadi kulit.

ANAAKA menggabungkan nilai halal dengan penjagaan kesihatan kulit menerusi formulasi berasaskan bahan terpilih seperti Immortelle, air mawar dan asid hyaluronik halal.

Produk jenama berkenaan menggunakan tiga bahan utama iaitu Immortelle, air mawar dan asid hyaluronik halal.

“Immortelle, bunga dari Mediterranean yang terkenal dengan minyak patinya digunakan bagi membantu mengekalkan seri dan daya tahan semula jadi kulit, manakala air mawar pula mempunyai sifat menenangkan.

“Asid hyaluronik halal yang digunakan diperoleh daripada spesies cendawan sebagai alternatif kepada sumber konvensional,” jelasnya.

Adam berkata, setiap bahan dipilih berdasarkan manfaat kepada kulit dan bukan semata-mata kerana popular dalam pasaran.

“Kami tidak memilih bahan hanya kerana ia popular. Jika sesuatu bahan tidak memberikan nilai kepada kulit, ia tidak akan dimasukkan dalam formulasi ini,” katanya.

Tambahnya, setiap produk ANAAKA turut disokong pensijilan halal daripada IIDC Germany, pengiktirafan pakar dermatologi antarabangsa Dr Jen Haley serta status Premium Made in Italy yang merangkumi proses formulasi, pembuatan dan pembungkusan.

Adam turut memperkenalkan konsep H-Beauty yang berteraskan lima nilai iaitu Human, Healthy, Honest, Harmonious dan Halal, dengan pendekatan penjagaan kulit lebih ringkas serta memberi keutamaan kepada kesihatan kulit.

“Kami tidak percaya kulit memerlukan terlalu banyak langkah. Apa yang diperlukan ialah formulasi berkualiti yang saling melengkapi dan benar-benar berkesan,” katanya.

Beliau turut menolak pendekatan pemasaran yang menjadikan penuaan sebagai sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya mahu penjagaan kulit membantu wanita memiliki kulit lebih sihat dan menghargai diri pada setiap peringkat kehidupan.

“Saya berharap ANAAKA dikenali bukan kerana kempen pemasaran atau pembungkusannya, tetapi kerana berjaya mengubah cara masyarakat melihat halal, kemewahan dan kecantikan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button