BERITA SEMASA

Isu halal bidang kuasa Majlis Raja-Raja – Ahmad Zahid

SHANGHAI – Dasar penentuan mewajibkan penggunaan sijil halal di premis makanan termasuk yang diusaha bukan Islam hanya akan ditentukan oleh Majlis Raja-Raja (MRR).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana soal hal ehwal agama termasuk halal adalah di bawah bidang kuasa MRR.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara, menyeru supaya polemik persijilan halal ini seharusnya diredakan serta merta.

“Ia (cadangan wajibkan penggunaan sijil halal) cuma cadangan kajian bukan menjadi dasar (kerajaan). Saya tidak fikir mana-mana pihak merasa khuatir dengan cadangan kajian itu.

“Soal hal ehwal agama termasuk halal ini adalah kuasa Majlis Raja-Raja. Jadi sama ada jika kajian itu nanti sama ada mewajibkan atau tidak mewajibkan itu terserahlah kepada MRR,” katanya dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di akhir lawatannya ke China, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Majlis Halal Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah mengambil tindakan untuk memendekkan tempoh kelulusan bagi permohonan sijil halal.

“Dulu ambil masa sembilan bulan kemudian atas persefahaman Majlis Halal Negara dan JAKIM, ia dipendekkan kepada 23 hari bekerja.

“Kini sudah dipendekkan lagi kepada 15 hari bekerja iaitu dari tarikh permohonan dikemukakan dengan syarat semua keperluan (bagi permohonannya) itu sudah dipenuhi,” katanya lagi.

Beliau berkata, sebelum keputusan memendekkan tempoh permohonan itu dilaksana, JAKIM juga sudah memanggil pemohon dan pemegang taruh lain untuk mengadakan sesi libat urus.

Isu ini timbul apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengeluarkan kenyataan bahawa pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela dan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Kenyataan dikeluarkan itu kemudiannya mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Pemuda UMNO, pembangkang serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button