Steven Sim nasihat orang ramai hormati penjelasan hiasan Hari Natal di premis halal
KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan menghormati penjelasan berhubung isu hiasan bertemakan sambutan Hari Natal di premis makanan dan hotel yang tidak melanggar syarat pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan pelaksanaan di peringkat lapangan kekal konsisten serta tidak mengelirukan pengusaha dan pengguna.
“Berhubung isu berkaitan hiasan bertemakan sambutan Hari Natal di premis makanan dan hotel, Dr Zulkifli Bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memperjelaskan bahawa hiasan bertemakan sambutan Hari Natal tidak melanggar syarat pensijilan halal JAKIM.
“Sehubungan itu, proses dan prosedur kerajaan di semua peringkat perlu dipermudahkan serta diselaraskan supaya peniaga di Malaysia dapat beroperasi dengan lebih jelas tanpa kekeliruan atau tafsiran peraturan yang berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Dr Zulkifli menjelaskan tiada larangan dikenakan terhadap hotel atau premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk memaparkan hiasan perayaan agama selain Islam, selagi ia tidak menjejaskan prinsip halal dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.
Beliau berkata, ketetapan itu selaras dengan keputusan yang telah diputuskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak 2023, khususnya berkaitan penggunaan dekorasi di bahagian dapur atau cawangan hotel yang memiliki SPHM.
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, sudah tiba masanya untuk memastikan perniagaan Malaysia terus berkembang secara inklusif tanpa mengira kaum, agama, negeri dan wilayah, termasuk dalam sektor makanan serta perhotelan yang melibatkan ramai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
“Ini merupakan sebahagian Strategi ABCD yang dilaksana oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), iaitu anjakan produktiviti, birokrasi dipermudahkan, capaian modal serta daya akses pasaran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








