BERITA SEMASA

MyCorps berpotensi kembali ke pentas antarabangsa tahun depan

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti hala tuju serta pengembangan semula Program Kesukarelawanan Belia Malaysia Antarabangsa (MyCorps), termasuk kemungkinan memperluas pelaksanaannya ke peringkat antarabangsa seawal tahun hadapan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Anak Bimol berkata, usaha itu selaras dengan aspirasi asal penubuhan MyCorps sebagai platform yang memberi pendedahan global kepada belia Malaysia melalui aktiviti kesukarelawanan.

mordi bimol
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Anak Bimol

Menurutnya, pengalaman di peringkat antarabangsa mampu memperkaya perspektif anak muda selain membuka ruang untuk mereka membawa nama Malaysia serta nilai Malaysia MADANI ke persada dunia.

“Kita mahu lebih ramai anak muda berpeluang turun ke lapangan, memahami kepelbagaian dan realiti masyarakat serta mempunyai keberanian untuk tampil sebagai sebahagian daripada penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Akademi MyCorps Edisi 2: Malaysia 2026 di Dewan Serbaguna, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di sini hari ini.

Mordi berkata, sejak diperkenalkan pada 2015, MyCorps telah melaksanakan sembilan misi kesukarelawanan antarabangsa melibatkan 15 negara di Asia dan Afrika, selain diperluaskan ke peringkat tempatan menerusi beberapa program termasuk Akademi MyCorps.

Menurut beliau, secara keseluruhan program itu telah melibatkan 499 belia dan menghasilkan hampir 700 projek kesukarelawanan berasaskan komuniti yang memberi manfaat kepada lebih 100,000 penerima.

“Kesukarelawanan bukan sekadar tentang jumlah masa, tenaga atau sumber yang dicurahkan, tetapi mencerminkan keprihatinan dan kesediaan untuk berbakti kepada masyarakat, menjaga persekitaran serta menyumbang kepada masa depan negara.

“Apabila anak muda memilih untuk menjadi sukarelawan, mereka belajar untuk mendengar sebelum berbicara, memahami sebelum menilai dan membantu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan balasan,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa KBS melihat kesukarelawanan sebagai platform penting dalam pembentukan karakter, jati diri dan kepimpinan generasi muda.

Dalam pada itu, Program Akademi MyCorps Edisi 2: Malaysia 2026 menghimpunkan 30 peserta berusia antara 18 hingga 30 tahun yang menjalani latihan intensif sebelum ditempatkan di enam komuniti terpilih di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Antara lokasi terlibat ialah Kedawang di Langkawi, Kampung Mangkok di Setiu, Kampung Sabur di Pulau Banggi, Kampung Pahu Sarayo di Ranau, Nanga Ensiring di Julau serta Kampung Kejaman Lasah di Belaga.

Pelbagai projek berimpak komuniti dilaksanakan sepanjang program tersebut termasuk pemulihan terumbu karang, penanaman bakau, sistem bekalan air graviti, projek keselamatan sekolah, tenaga solar, pengurusan sisa dan penambahbaikan kemudahan awam.

Menurut Mordi, setiap projek dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 500 penerima di setiap lokasi selain disokong pelbagai inisiatif pendidikan, kesihatan komuniti, sanitasi dan pemerkasaan masyarakat.

Beliau turut mengingatkan para peserta supaya meneruskan semangat kesukarelawanan yang dipupuk sepanjang program dan menjadi pemimpin masa depan yang berani memikul tanggungjawab serta membantu masyarakat.

“Jadilah generasi muda yang bukan sekadar mahu melihat perubahan, tetapi berani tampil menjadi sebahagian daripada perubahan itu,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button