BERITA SEMASA

Putrajaya dijangka diselubungi jerebu pada 31 Ogos

PUTRAJAYA – Putrajaya dijangka mengalami jerebu pada kepekatan agak tinggi pada 31 Ogos ini yang mencetuskan kebimbangan terhadap tahap kesihatan udara ketika sambutan Hari Kebangsaan, di sini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, termasuk Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor berisiko mengalami jerebu susulan keadaan atmosfera serta pengaruh angin barat daya.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata, analisis model ramalan cuaca bagi tempoh 27 hingga 31 Ogos menunjukkan terdapat kawasan yang berpotensi mengalami cuaca berjerebu dengan jarak penglihatan terhad.

Menurut beliau, keadaan itu dipengaruhi angin barat daya serta jumlah titik panas yang masih tinggi di selatan Sumatera dan barat Kalimantan.

“Kepekatan jerebu yang tinggi berpotensi berlaku di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 31 Ogos,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Sarawak dijangka menjadi negeri paling terkesan apabila kebanyakan daerah berpotensi mengalami jerebu pada tahap tidak sihat.

Malah, beberapa daerah di negeri itu diramal mencapai tahap sangat tidak sihat pada 30 dan 31 Ogos berdasarkan ramalan model kepekatan jerebu MyCMAQ (Model Kualiti Udara Pelbagai Skala Komuniti Malaysia).

Sabah pula dijangka mula mengalami keadaan berjerebu mulai Sabtu ini.

MetMalaysia berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan atmosfera dan mengemas kini ramalan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan cuaca terkini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan keperluan untuk mengubah skala atau lokasi sambutan Hari Kebangsaan susulan keadaan jerebu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button