Pendidikan perlu bentuk insan seimbang, bukan sekadar akademik cemerlang – Fadhlina
KUALA LUMPUR – Pendidikan tidak seharusnya diukur hanya melalui deretan A pada slip peperiksaan, sebaliknya matlamat lebih besar adalah membentuk manusia yang mampu mengenal potensi diri, mengurus emosi dan membina kehidupan yang seimbang.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pendidikan perlu melihat seseorang murid secara menyeluruh dan bukan sekadar berdasarkan pencapaian akademiknya sahaja.
Menurut beliau, setiap anak hadir ke sekolah dengan latar kehidupan berbeza, termasuk keadaan keluarga, bakat, emosi, kekuatan dan kekurangan masing-masing.
“Apakah tujuan sebenar pendidikan hanya untuk melahirkan anak-anak yang mendapat keputusan cemerlang di atas kertas?
“Tentunya kita mahu anak-anak menguasai ilmu dan mencapai kecemerlangan. Tetapi pendidikan mempunyai cita-cita yang jauh lebih besar,” katanya menerusi satu perkongsian dalam hantaran di media sosial hari ini.
Beliau meringkaskan perkara tersebut daripada ucapannya mengenai Pendidikan Manusiawi ketika
menyertai Forum Ilmuan Malaysia MADANI bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Fadhlina berkata, falsafah pendidikan negara sejak sekian lama meletakkan matlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis.
Justeru, katanya, pelbagai usaha dalam sistem pendidikan seperti memperbaiki infrastruktur sekolah, menyediakan makanan, memperluas pendidikan prasekolah, menjaga kebajikan murid, membentuk karakter serta membuka lebih banyak akses pendidikan sebenarnya mempunyai satu tujuan yang sama.
“Tetapi semuanya bertemu pada satu titik yang sama. Manusia,” katanya.
Beliau menjelaskan pendekatan Pendidikan Manusiawi menuntut supaya sistem pendidikan melihat keseluruhan diri seseorang anak dan memberikan ruang kepada setiap murid untuk mengenal pasti kekuatan serta mengembangkan potensi mereka.
Katanya, pendidikan pada akhirnya bukan sekadar usaha untuk melahirkan individu yang pandai menjawab soalan peperiksaan, tetapi proses panjang membentuk manusia yang mampu menjalani kehidupan dengan ilmu, nilai dan keseimbangan.
“Pendidikan bukan sekadar membina kepandaian. Pendidikan membentuk manusia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








