Hari Kebangsaan bukan medan politik, polemik isu Rohingya – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia tidak wajar menjadikan isu Rohingya sebagai alasan untuk memboikot sambutan Hari Kebangsaan, sebaliknya perlu memanfaatkan sambutan itu bagi menyemarakkan kecintaan terhadap tanah air.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sambutan ulang tahun kemerdekaan tidak sepatutnya disandarkan kepada emosi atau sentimen terhadap isu tertentu yang berlaku dalam negara.
“Malaysia adalah tanah tempat tumpah darah kita. Malaysia adalah rumah kita. Rasmi tuan rumah, kita tidak akan berhenti menjaga dan menghiasi rumah hanya kerana tidak bersetuju dengan kehadiran pihak yang tidak kita undang.
“Jadi, janganlah lepaskan peluang menzahirkan rasa kasih dan sayang pada tanah air hanya kerana kita tidak berpuas hati dengan sesetengah isu yang melanda negara kita.
“Sebaliknya, jadikan ruang dan peluang ini untuk menebalkan rasa kecintaan pada negara kita.
“Setidak-tidaknya, patriotisme yang membara akan menjadi satu petunjuk kepada semua pihak di dalam dan luar negara, bahawa rakyat Malaysia tidak akan membiarkan tanah airnya menjadi medan politik dan polemik mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang di Dataran Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Baca juga : Myanmar setuju terima semula 5,000 Rohingya dari Malaysia – Anwar
Sebelum ini, terdapat pengguna media sosial meminta rakyat memboikot sambutan Hari Kebangsaan atau hadir ke Dataran Putrajaya dengan membawa sepanduk berbaur sindiran atau tuntutan berkenaan isu Rohingya.
Dalam pada itu, Khaled turut menyeru rakyat supaya menjadikan sambutan tahun ini sebagai ruang untuk menanam azam memelihara kedaulatan negara.
“Negara ini tidak merdeka dan berdiri dengan sendirinya. Kita yang harus bersama-sama membangunkannya, menjaganya, menyayanginya dan memelihara kedaulatannya.
“Jadikan tahun ini sebagai tahun kita menanam azam, untuk tidak melakukan apa-apa yang boleh mencalar kedaulatan berkenaan.
“Paling penting, jangan kita pernah lupa untuk mendoakan kesejahteraan negara ini, mendoakan perajurit yang berjuang dan berkorban di perbatasan dan mendoakan semua warga Malaysia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








