IKMa lancar Pelan Strategik 2026-2030, perkasa pendidikan koperasi
PETALING JAYA – Institut Koperasi Malaysia (IKMa) melancarkan Pelan Strategik IKMa 2026-2030 bagi memandu hala tuju lima tahun akan datang dalam memperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan koperasi.
Ketua Pengarah IKMa, Datuk Dr Mohd Ali Mansor berkata, pelan strategik itu memberi tumpuan kepada inovasi dalam latihan, pengukuhan integriti serta peluasan jaringan kerjasama strategik bagi memastikan IKMa terus relevan, responsif dan berdaya saing dalam mendepani perubahan semasa.
Beliau berkata, pembangunan modal insan koperasi menjadi antara keutamaan yang perlu terus diperkasakan, selaras perkembangan ekonomi, teknologi dan perubahan landskap perniagaan yang menjadikan keperluan latihan gerakan koperasi semakin kompleks.
“IKMa akan terus memperkukuh penyediaan latihan yang relevan, fleksibel, inovatif dan berorientasikan keperluan sebenar gerakan koperasi.
“Kita mahu memastikan setiap latihan yang disediakan bukan sekadar memberikan pengetahuan, tetapi mampu meningkatkan kompetensi, membina kepimpinan yang berintegriti, memperkukuh keupayaan pengurusan serta membantu koperasi meningkatkan daya saing dan keberkesanan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Jom IKMa sempena Sambutan 70 Tahun IKMa yang dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, di sini hari ini.
Baca juga : IKMa perkasa gerakan koperasi melalui pembangunan modal insan

Mohd Ali berkata, pengalaman 70 tahun IKMa menjadi asas kukuh untuk institusi itu melangkah lebih jauh dan memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan gerakan koperasi negara.
Katanya, IKMa kini turut mempunyai Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang menawarkan program akademik jangka panjang daripada peringkat Diploma hingga Doktor Falsafah (PhD) dan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dalam bidang koperasi.
“Perkembangan ini membuktikan bahawa pendidikan koperasi bukan sahaja penting dalam bentuk latihan jangka pendek, malah mempunyai ruang yang luas untuk dikembangkan sebagai bidang ilmu dan kepakaran yang mampu melahirkan tenaga profesional serta pemimpin koperasi yang berwibawa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Karnival Jom IKMa yang berlangsung selama dua hari menjadi antara pengisian utama Sambutan 70 Tahun IKMa, selain membuka ruang kepada gerakan koperasi, komuniti, agensi kerajaan, rakan strategik, institusi pendidikan, pesara dan masyarakat untuk bersama-sama meraikan pencapaian institusi itu.
Menurutnya, karnival berkenaan menyediakan 10 gerai jualan dan pameran membabitkan usahawan koperasi, agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Program Jualan Madani yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
Katanya, pertandingan Explorace turut dianjurkan dengan penyertaan 100 pelajar daripada 25 sekolah menengah.
“Para peserta turut berpeluang menikmati pelbagai pengisian bermanfaat seperti pemeriksaan kesihatan dan pergigian, program derma darah serta aktiviti permainan dalaman (indoor games),” katanya.
Beliau berkata, penganjuran karnival itu turut bertujuan memperkenalkan IKMa kepada masyarakat sebagai institusi strategik dalam memperkasa pendidikan, latihan dan pembangunan kapasiti gerakan koperasi di Malaysia.
Mohd Ali berkata, IKMa akan terus memperluas jaringan kerjasama dengan koperasi, kementerian, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pihak berkepentingan bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih menyeluruh.
“70 tahun IKMa perlu menjadi titik tolak kepada satu fasa baharu yang lebih dinamik, progresif dan berimpak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








