BERITA SEMASAPMX

Telekom Malaysia perlu pacu penerokaan AI, teknologi kuantum untuk kekal relevan – PM

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) perlu terus melangkah ke era baharu teknologi, termasuk memperkukuh penerokaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kuantum, bagi memastikan syarikat itu kekal relevan dalam mendepani perubahan zaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, TM bukan lagi sekadar mewarisi legasi Jabatan Telekom, sebaliknya memikul tanggungjawab besar untuk membantu memastikan Malaysia terus maju, berdaulat, merdeka dan berjaya.

Katanya, perkembangan teknologi yang semakin pantas menuntut TM terus meneroka bidang baharu selain memperkukuh kepakaran serta pengalaman yang dimiliki.

“Saya sekali lagi bangga kerana Telekom Malaysia ikuti betul-betul dari era-era semikonduktor ke era digital dan bila kita tiga tahun setengah yang lalu kita bicarakan soal transformasi digital, jadi antara yang cepat menyambut adalah TM dan juga universiti.

“Dan bila kita bicara soal multimedia dan kemudian AI, saya lebih bangga kerana yang cepat menyambutnya juga TM dan Universiti Multimedia,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun Ke-80 TM, di sini hari ini.

Anwar berkata, TM perlu memastikan kemajuan yang dicapai tidak menyebabkan syarikat itu selesa dengan tahap pencapaian sedia ada, sebaliknya terus mempunyai tekad untuk mengejar kecemerlangan.

Beliau berkata, Malaysia tidak mungkin mampu meningkatkan martabat dan darjatnya jika terus mengekalkan keadaan lama yang lembap, penuh dengan kebobrokan sistem serta kemalasan.

“Mana negara yang boleh terangkat martabat dan harakat dan darjatnya dengan keadaan mengekalkan situasi yang lama, lembab dan penuh dengan kebobrokan sistem kemalasan? Tidak mungkin.

“Maka harus dipacu dengan lebih hukum, dipastikan tahap kemajuan itu lebih laju dan pantas,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kejayaan TM tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan keuntungan, hasil atau teknologi baharu, sebaliknya turut perlu mengambil kira kebajikan pekerja dan masyarakat sekeliling.

Mengimbas proses penswastaan Jabatan Telekom pada 1990, Anwar berkata, kecekapan dan keuntungan sememangnya penting, namun kebajikan pekerja juga perlu diberi perhatian.

Katanya, perkara itu merangkumi aspek perumahan, upah dan gaji yang lebih lumayan serta nasib anak-anak pekerja termasuk peluang pendidikan.

“Sebab itulah pekerja Telekom umumnya mendapat pengiktirafan yang jauh lebih baik. Ini bezanya di Malaysia dan ini yang kita katakan dalam negara Madani.

“Kita mahu pertumbuhan itu lebih rancak, segar, pantas. Kita mahu juga keselesaan rakyat itu dinikmati oleh semua,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, TM juga perlu memanfaatkan kepakaran yang dimiliki bagi melatih anak bangsa dalam bidang serta disiplin baharu.

Beliau turut memuji keupayaan TM yang pantas mengikuti perkembangan daripada era semikonduktor kepada era digital, transformasi digital, multimedia dan AI.

“TM perlu terus berkembang bukan sekadar merentasi generasi, malah hampir merentasi zaman, sejajar dengan perubahan teknologi yang berlaku dengan begitu pantas,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button