FINAS mahu bendung kartel, pastikan persaingan sihat industri perfileman
KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan mengadakan pertemuan bersama pemain industri bagi menangani dakwaan monopoli pengedaran filem serta memastikan persaingan yang lebih adil dalam pasaran perfileman tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, FINAS mengambil serius kebimbangan berhubung penguasaan pengedaran filem oleh pihak tertentu yang turut terlibat dalam aspek penerbitan dan pembiayaan.
Menurutnya, FINAS tidak mahu wujud sebarang unsur kartel yang boleh menjejaskan peluang pemain industri lain untuk bersaing secara sihat.
“Jika boleh, kita tidak mahu ada kartel. Kita mahu perdagangan yang adil dan peluang yang sama rata untuk semua pemain industri,” katanya kepada pemberita di Menara FINAS baharu di Damansara Damai hari ini.
Beliau berkata, walaupun FINAS belum menerima sebarang aduan rasmi, agensi itu menyedari rungutan yang dibangkitkan oleh penggiat industri, khususnya syarikat penerbitan berskala kecil.
Sehubungan itu, FINAS akan mempertemukan pengedar dan penerbit filem bagi mengenal pasti kekangan yang menghalang akses pasaran yang lebih adil.
Azmir turut menekankan kepentingan ketelusan dalam penjadualan tayangan filem antarabangsa, terutama produksi Hollywood, kerana pengumuman pada saat akhir boleh memberi kesan kepada perancangan filem tempatan.
“Situasi itu boleh menjejaskan peluang filem tempatan untuk mendapat slot tayangan yang sesuai di pawagam,” katanya lagi.
Beliau memberi contoh musim Tahun Baharu Cina apabila hampir 15 filem bersaing untuk mendapatkan skrin pawagam dalam tempoh dua minggu, sekali gus mengehadkan ruang promosi dan tontonan bagi karya tempatan.
“FINAS bukan mahu menghalang kemasukan filem luar, tetapi kita mahu filem tempatan dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil turut mempunyai peluang yang adil untuk menemui penonton,” katanya lagi.
Azmir berkata, FINAS kini berada pada peringkat akhir proses semakan menyeluruh terhadap kerangka peraturan industri perfileman yang dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun untuk dilaksanakan sepenuhnya selepas melalui sesi libat urus bersama kementerian dan agensi berkaitan sebelum dibentangkan kepada Kabinet.
Menurutnya, garis panduan baharu itu akan mengambil kira perkembangan teknologi semasa termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta pengeluaran kandungan berasaskan studio.
Selain itu, ia turut mewajibkan kontrak rasmi yang meliputi aspek pekerjaan dan pembayaran kepada kru produksi bagi melindungi kebajikan pekerja industri.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan juga akan diperkukuh dengan kadar penalti yang lebih tinggi, termasuk denda sehingga RM250,000 terhadap syarikat yang beroperasi tanpa lesen sah.
“Semakan tersebut amat diperlukan memandangkan kali terakhir perubahan besar terhadap peraturan industri dibuat pada tahun 2013.
“FINAS ketika ini sedang memantau pelaksanaan 52 inisiatif yang dirangka bagi memodenkan industri perfileman negara dan memenuhi keperluan semasa penggiat seni,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








