Malaysia gesa kerjasama erat ASEAN tangani isu jerebu
KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa kerjasama lebih erat negara anggota ASEAN bagi menangani isu jerebu rentas sempadan susulan surat rasmi berhubung perkara itu yang telah dihantar kepada Sekretariat ASEAN.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, surat berkenaan dihantar Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membincangkan langkah bersama negara anggota ASEAN dalam menangani masalah berkenaan.
Menurutnya, setiap negara anggota perlu memainkan peranan lebih berkesan dalam memastikan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka, termasuk pembakaran di kawasan ladang, dilaksanakan dengan tegas.
“Surat itu sudah dihantar oleh Datuk Seri Mohamad Hasan. Dia nak tengok macam mana dalam ASEAN kita boleh bersama-sama menyelesaikan soal jerebu ini kerana setiap negara dalam ASEAN kena main peranan untuk memastikan penguatkuasaan pembakaran terbuka, pembakaran ladang.
“Perlu kita pastikan bahawa ini adalah perkara sangat penting. Jadi isu ini akan dibincang oleh Datuk Mohamad kepada rakan-rakan sejawat dia di ASEAN,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Alpha Gen Talent @ KEMAS 2026, di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai lawatan rasmi ke Brunei bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Johari berkata kunjungan berkenaan adalah sebahagian daripada hubungan dua hala yang dilaksanakan secara berkala antara kedua-dua negara.
Katanya, lawatan tersebut dilakukan secara bergilir, dengan Brunei dijangka mengadakan kunjungan ke Malaysia pada tahun depan.
“Itu lawatan yang biasa yang kita buat setiap tahun. Kita pergi ke sana dan tahun depan dia akan ke sini.
“Jadi masa kita pergi itu adalah giliran kita pergi sana. Normal, ‘bilateral meeting’ yang kita buat. Itu saja, tak ada apa lain,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








