BERITA SEMASA

KPDN gagalkan cubaan seleweng 3.04 tan minyak masak bersubsidi

KUALA TERENGGANU – Cubaan menyeleweng 3.04 tan minyak masak paket bersubsidi dipercayai untuk diseludup ke negara jiran berjaya digagalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Terengganu dalam serbuan di Bukit Diman, Ajil, Hulu Terengganu hari ini.

Serbuan pada pukul 9.30 pagi itu membawa kepada penemuan 200 kotak minyak masak paket bersubsidi bernilai RM103,500.

Dalam operasi berkenaan, pasukan penguat kuasa turut menyita sebuah lori kargo tiga tan dan sebuah Perodua Bezza bagi membantu siasatan.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, operasi dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu itu turut menahan empat individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.

“Kesemua minyak masak bersubsidi terbabit ditemui disimpan dalam sebuah lori kargo tiga tan yang diletakkan di hadapan sebuah rumah tanpa permit.

“Siasatan awal mendapati bekalan barang kawalan itu dipercayai mahu dibawa ke sempadan untuk diseludup keluar ke negara jiran,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Zon Tumpuan Pelancongan Patuh KPDN di sebuah premis pusat sehenti produk makanan dan kraftangan Terengganu.

Menurut Mohd Mufsi, siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai memperoleh bekalan minyak masak paket bersubsidi itu daripada dua kilang pembungkusan semula barang kawalan di Hulu Terengganu dan Gong Badak, Kuala Nerus.

Kesemua barang rampasan dan suspek dibawa untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian serta modus operandi kegiatan penyelewengan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button