BERITA SEMASA

Internet percuma masjid Selangor dikawal kandungan, waktu penggunaan – Fahmi Ngah

PETALING JAYA – Kemudahan internet percuma di masjid-masjid di Selangor akan dilaksanakan dengan kawalan kandungan dan waktu penggunaan bagi memastikan kemudahan itu dimanfaatkan untuk tujuan yang bermanfaat.

EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu antara usaha kerajaan negeri membudayakan penggunaan internet secara selamat dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, kawalan berkenaan penting terutama apabila kemudahan internet disediakan di lokasi seperti masjid yang turut menjadi tempat anak-anak dan golongan muda berkumpul.

“Kita ada kerjasama dengan MCMC untuk mewujudkan satu internet selamat untuk masjid-masjid di negeri Selangor, tetapi kita kawal dari sudut kandungan dan waktu yang dibenarkan untuk melayarinya.

“Kalau kita letak internet dalam masjid, takkanlah kita nak biarkan anak-anak bermain Mobile Legends ketika waktu solat. Apabila masuk waktu solat, kita hentikan dahulu dan selepas itu kita bekalkan dengan internet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Daerah Petaling Jaya di Dewan Serbaguna MBPJ, Kampung Lindungan, di sini hari ini.

internet
Fahmi (dua dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada Dr Anisha Ghani yang menyertai program tersebut.

Program itu turut dihadiri Pengarah Kanan, Pejabat Wilayah tengah MCMC, Mohamad Rizal Ahmad; Pengarah Pejabat MCMC Selangor, Amal Abdul Aziz; Ketua Polis Balai Sungei Way, Inspektor Lau Chee Ung dan Ahli Majlis Zon 18, Ahmad Akhir Pawan Chik.

Fahmi berkata, pendekatan itu bukan bertujuan menyekat penggunaan internet, sebaliknya memastikan kemudahan berkenaan digunakan secara bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Katanya, golongan warga emas dan kanak-kanak juga perlu diberi perhatian supaya mereka menggunakan internet untuk mendapatkan ilmu, maklumat dan aktiviti yang positif.

“Kita kena jaga juga warga emas dan anak-anak supaya mereka menggunakan internet untuk tujuan yang baik dan bukan tidak baik.

“Semua itu ada sekatan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, jika pelaksanaan internet percuma dan selamat di masjid berjaya, kerajaan negeri berhasrat memperluaskan kemudahan berkenaan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di bawah kerajaan negeri serta kawasan-kawasan kerajaan yang berkaitan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MCMC atas panduan dan kerjasama yang diberikan sehingga kerajaan negeri dapat melaksanakan kemudahan internet percuma dengan pendekatan yang lebih terkawal dan selamat.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, program Kempen Internet Selamat penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai manfaat serta risiko penggunaan internet, khususnya media sosial.

Program yang berlangsung di Kampung Lindungan itu turut menyediakan taklimat kesedaran selain pelbagai pertandingan dan aktiviti untuk menarik penyertaan penduduk termasuk golongan muda dan warga emas.

Antaranya pertandingan Mobile Legends, karom, mewarna bagi kanak-kanak dan solekan bagi remaja.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button