BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Tiga acara, satu matlamat: Malaysia pacu kesaksamaan digital serantau

Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025, Hari Antarabangsa Gadis dalam ICT (Girls in ICT - GICT) serta Ulang Tahun ke-160 Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) itu berlangsung penuh meriah di Cyberview Resort & Spa di Cyberjaya

PENGANJURAN tiga acara penting dunia digital oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menandakan satu komitmen nasional dan antarabangsa terhadap masa depan digital yang inklusif, adil dan saksama.

Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025, Hari Antarabangsa Gadis dalam ICT (Girls in ICT – GICT) serta Ulang Tahun ke-160 Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) itu berlangsung penuh meriah di Cyberview Resort & Spa di Cyberjaya.

Fahmi Fadzil
Fahmi (tengah) bergambar bersama peserta sempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, acara itu bukan sekadar bersifat simbolik tetapi adalah satu peringatan yang kuat akan peranan komunikasi dalam membentuk masa depan yang lebih adil dan inklusif.

“Ia sejajar dengan komitmen Malaysia yang kukuh terhadap ITU sebagaimana yang ditunjukkan melalui Ikrar Partner2Connect di peringkat antarabangsa iaitu menerusi Pelan Infrastruktur Digital Negara (JENDELA), Pusat Penyebaran Maklumat Negara (NADI) dan Pengurusan E-Sisa (KITAR).

BACA : ITU hargai peranan Malaysia perkukuh keselamatan siber, perubahan digital serantau

“Tahun ini menandakan satu pencapaian bersejarah apabila ITU meraikan ulang tahun ke-160, lebih satu setengah abad dalam membentuk kemajuan teknologi komunikasi global.

“Malaysia dengan bangganya merupakan penyokong konsisten misi ITU, memainkan peranan aktif dalam usaha antarabangsa dan memperjuangkan dasar-dasar yang menggalakkan keterhubungan, inovasi dan keterangkuman untuk semua,” jelas Fahmi dalam ucapannya.

Dalam pada itu, beliau turut menggariskan pencapaian besar Malaysia dalam bidang infrastruktur digital menerusi inisiatif JENDELA yang kini telah memberi akses internet berkelajuan tinggi kepada lebih 9 juta premis, melepasi sasaran awal menjelang 2025.

Salah seorang peserta menerangkan tentang akses internet berkelajuan tinggi melalui telefon pintar miliknya.

Beliau juga berkongsi bahawa liputan internet di kawasan berpenduduk kini mencapai 98.66 peratus manakala kelajuan jalur lebar mudah alih purata negara meningkat kepada 105.36 Mbps.

Capaian 5G pula mencatatkan 82.4 peratus liputan setakat April 2025, dengan kadar penembusan mudah alih mencecah 61 peratus.

“Keterhubungan digital hari ini adalah pintu kepada ilmu, ekonomi, kesihatan dan kemajuan. Kita bukan sahaja membina infrastruktur, kita membina masa depan,” katanya dengan penuh yakin.

BACA : AI tidak gugat peluang pekerjaan dalam keselamatan siber

Bersempena sambutan itu juga, setem peringatan telah dikeluarkan oleh Malaysia bagi memperingati ulang tahun ke-160 ITU.

Menurut Fahmi lagi, setem itu bukan sahaja item koleksi, tetapi juga lambang bermakna legasi berterusan antara ITU dan Malaysia dalam bidang telekomunikasi global.

“Ia mencerminkan evolusi teknologi komunikasi dan menghargai kerjasama antarabangsa yang menjadi tonggak utama dalam merapatkan jurang digital di seluruh dunia.

“Malaysia berbangga untuk menyertai penghormatan global ini, sekali gus menzahirkan komitmen kami terhadap misi ITU dalam keterhubungan sejagat dan pertumbuhan digital yang inklusif,” tegasnya.

Kishore Babu memberi syarahan berkaitan keistimewaan Akademi ITU kepada peserta yang hadir terutama golongan belia.

Dianjurkan pada 17 Mei setiap tahun, WTISD meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pembangunan global serta pembentukan suasana masyarakat lebih inklusif dan saksama manakala GICT memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita dalam bidang teknologi.

Majlis ini menghimpunkan pelbagai pihak termasuk golongan belia sebagai platform untuk meneroka peranan transformasi digital dalam memacu keterangkuman, kesaksamaan gender dan pembangunan lestari.

Ia selaras dengan tema WTISD 2025, ‘Kesaksamaan Gender dalam Transformasi Digital’.

BACA : Akta Keselamatan Dalam Talian tunggu perkenan, langkah tegas bendung penipuan siber – Fahmi Fadzil

Antara pengisian majlis termasuklah sesi diskusi bertajuk ‘The Future of Connectivity: Advancing Digital Inclusion Through Transformative Technologies’ dan ‘Borderless Connectivity: How ICT Can Drive Sustainability, Equality & Safety’.

Sesi pocket talk dengan tema Wanita dalam ICT untuk Transformasi Digital Inklusif turut diadakan bagi mengetengahkan kemajuan Malaysia memperkasa wanita dalam sektor ICT, selain menekankan komitmen kerajaan terhadap pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Majlis penuh makna itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Wakil Kawasan ITU bagi Asia Tenggara dan Ahli Negara Lain di Asia dan Pasifik, Kishore Babu Yerraballa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button