BERITA SEMASA

10 kawasan Sarawak catat IPU tidak sihat

PUTRAJAYA – Sebanyak 10 kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, setakat pukul 7.30 pagi tadi.

Data di portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan, Serian mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 191, diikuti Kuching (181), Samarahan (178), Sri Aman (174) dan Sarikei (171).

Turut mencatat IPU tahap tidak sihat adalah Sibu (160); Samalaju, Bintulu dan Mukah (156) serta Miri (151).

Selain itu, satu kawasan di Melaka turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat, iaitu Bukit Rambai.

Kelmarin, sebanyak 591 sekolah di bawah seliaan 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak ditutup hingga semalam berikutan kualiti udara yang semakin merosot akibat jerebu rentas sempadan.

Sekolah berkenaan adalah di bawah seliaan PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu dan Betong.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam memaklumkan, Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) menunjukkan keadaan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan di rantau ASEAN selatan, kecuali hujan yang berlaku di bahagian timur laut Bomeo dan bahagian utara Sumatera.

Titik panas dikesan secara meluas di Kalimantan, manakala beberapa titik panas secara terpencil dikesan di kawasan lain di rantau ASEAN selatan.

Kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga padat dilihat di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.

Sementara itu, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sudah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button