Kesilapan lalu FELDA mesti jadi pengajaran, bukan warisan – Anwar
BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kesilapan lalu dalam pengurusan FELDA mesti dijadikan pengajaran dan tidak boleh diwariskan kepada pengurusan hari ini.
Beliau berkata, setiap kelemahan dan permasalahan yang berlaku sebelum ini perlu dikenal pasti, diperbaiki dan disusuli dengan tindakan tegas bagi memperkukuh tadbir urus serta pengurusan FELDA.
“Kesilapan lalu mesti menjadi pengajaran, bukan warisan. Pengurusan hari ini mesti lebih cekap, berintegriti dan bertanggungjawab, dengan tumpuan yang jelas kepada kepentingan peneroka dan masa depan FELDA,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menerusi satu kenyataan selepas Sesi Ramah Mesra bersama Pengurus-Pengurus FELDA, di Bangi hari ini.
Baca juga : Pelaburan FELDA di EHP: Anwar utus surat, minta bantuan Prabowo
Menurut beliau, kerajaan tidak boleh terus terperangkap dalam polemik masa lalu sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.
“Kita tidak boleh terus terperangkap dalam polemik masa lalu. Apa yang lebih penting ialah memastikan setiap penemuan dan kelemahan dikenal pasti, diperbaiki dan disusuli dengan tindakan yang tegas bagi memperkukuh tadbir urus serta pengurusan FELDA,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan FELDA terus diperkukuh, ditadbir dengan baik dan diurus secara amanah, cekap serta berakauntabiliti.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan manfaat FELDA benar-benar kembali kepada peneroka serta generasi akan datang.
“Saya tegaskan bahawa setiap kelemahan dan permasalahan yang berlaku sebelum ini mesti dijadikan iktibar dan tidak boleh dibiarkan berulang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








